Dua kakitangan Jabatan Kesihatan Johor Bahru memantau simptom demam penumpang yang keluar masuk dari Singapura bagi mencegah penularan Covid-19 di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin di Bangunan Sultan Iskandar pada 4 Februari 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19: Elaun khas bakar semangat petugas kesihatan

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Pemberian elaun khas sebanyak RM400 sebulan kepada doktor dan petugas perubatan yang lain merupakan satu pengiktirafan terhadap mereka di lapangan yang melaksanakan tugas berisiko tinggi menghadapi penularan jangkitan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya menyambut baik langkah kerajaan memberikan elaun khas kepada petugas yang secara langsung terdedah kepada risiko jangkitan penyakit berkenaan.

“Elaun khas ini merupakan satu pengiktirafan terhadap pengorbanan petugas di lapangan yang melaksanakan tugas berisiko tinggi dalam tindakan kesiapsagaan dan respons bagi menghadapi penularan jangkitan Covid-19.

“Terima kasih diucapkan atas tanda penghargaan ini. Semoga ia menjadi pendorong dan pembakar semangat bagi petugas kesihatan demi memelihara kesihatan dan keselamatan rakyat negara ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Semalam, Perdana Menteri interim Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya berkata elaun khas RM400 sebulan akan diberikan kepada doktor dan petugas perubatan serta RM200 kepada imigresen dan petugas lain yang terlibat, berkuat kuasa Februari 2020 hingga wabak Covid-19 berakhir.

-BERNAMA


Pengarang :