Selangorkini
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Hala tuju, promosi Tahun Melawat Malaysia 2020 diubah

PUTRAJAYA, 17 FEB: Hala tuju dan promosi Tahun Melawat Malaysia (VM2020) perlu diubah, bagi diselarikan dengan situasi negara yang sedang berhadapan dengan Covid-19.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata penularan Covid-19 yang memberi kesan kepada negara serta industri pelancongan antarabangsa, memerlukan satu inisiatif dan strategi berkesan, untuk memastikan misi menarik kehadiran pelancong tidak terjejas.

Bagi tujuan itu, beliau berkata kementerian telah memanggil sebahagian besar daripada pengurus pemasaran Tourism Malaysia di luar negara untuk berkongsi pandangan dan merangka langkah terkini, yang boleh diambil bagi menangani kesan daripada penularan wabak tersebut.

“Pada masa ini, keprihatinan utama kita ialah wabak Covid-19 di China, yang boleh dan telah memberi kesan kepada sektor pelancongan tempatan dan global.

“Bagaimanapun, bencana yang melanda tanah besar China itu, boleh menjadi faktor yang menjejaskan kedatangan pelancong China ke Malaysia, sekali gus memberi kesan kepada VM2020,” katanya pada majlis makan malam sempena persidangan Pengurus Pemasaran Tourism Malaysia di luar negara, di sini malam ini.

Persidangan selama empat hari bermula hari ini anjuran bersama Tourism Malaysia dan Malaysia Airport Holdings Berhad itu, dihadiri 26 Pengurus Pemasaran serta 11 Pengarah Pejabat Luar Negara. Ketika ini, terdapat 34 Pengurus Pemasaran Tourism Malaysia di luar.

Mohamaddin berkata China merupakan pasaran tradisi dan penting bagi Malaysia, menjadikan ia antara 10 negara utama menyumbang kepada penjanaan ekonomi negara, melalui sektor pelancongan.

Beliau berkata atas faktor itu, strategi berkesan serta pelan tindakan pemulihan perlu dibangunkan, untuk kempen VM2020, khusus bagi menangani kesan susulan daripada Covid-19, yang secara langsung menjejaskan industri pelancongan negara.

Mohamaddin berkata untuk tempoh sementara, pengurus pemasaran Tourism Malaysia serta pihak yang berkenaan perlu beralih fokus kepada pasaran tidak terjejas dengan wabak itu, seperti di rantau ASEAN, India, Asia Barat serta Korea Selatan.

Kementerian berharap persidangan ini akan dapat menghasilkan satu langkah atau hala tuju lebih berkesan, dalam meningkatkan aliran trafik pelancong daripada pasaran antarabangsa, ketika kerajaan bekerja keras menangani penularan Covid-19, katanya.

Susulan wabak Covid-19 di China, kerajaan pada 27 Jan lepas memutuskan menggantung sementara semua kemudahan imigresen kepada rakyat negara itu dari Wilayah Hubei, termasuk Bandar Wuhan.

– BERNAMA


Pengarang :