Pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia mengimbas penumpang yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang pada 21 Januari 2020 ketika pihak berkuasa meningkatkan pemantauan terhadap Covid-19. Foto AFP
AGENDANASIONAL

Covid-19 : IMR pastikan keputusan ujian pesakit disyaki tepat, cepat

KUALA LUMPUR, 13 FEB: Kakitangan Unit Virologi Pusat Penyelidikan Penyakit Berjangkit di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) diletakkan dalam keadaan bersedia bagi menjalankan penyiasatan jangkitan koronavirus 2019 (Covid-19).

Ini terutamanya bagi memastikan keputusan ujian sampel pesakit disyaki Covid-19 yang dijalankan adalah tepat dan dilaporkan kepada pihak hospital secepat mungkin.

Pakar Klinikal Virologi IMR Dr Rozainanee Mohd Zain berkata sebelum ini makmal unit itu beroperasi dari Isnin hingga Jumaat mulai 7.30 pagi hingga 5.30 petang tetapi sekarang mereka mempunyai senarai nama ‘on-call’ atau tugas atas panggilan untuk kakitangan bertugas dari pagi sehingga malam, termasuk pada hari minggu.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan dalam program ‘Darah Muda’ terbitan Bernama TV di sini malam tadi.

Dr Rozainanee berkata seramai sembilan kakitangan bertugas bagi setiap syif dan pemprosesan sampel diterima unit virologi perlu dilakukan dengan kadar segera.

“Daripada kita terima sampel (daripada pihak hospital) sehingga mengeluarkan keputusan ujian atau pun laporan ujian adalah 24 jam atau 48 jam,” katanya sambil menambah pihaknya telah menjalankan lebih 500 sampel ujian sejak berlakunya kluster virus itu sehingga kini.

Beliau berkata pihaknya telah mengeluarkan surat panggilan untuk mengadakan mesyuarat atau projek kerjasama dengan beberapa universiti tempatan dan agensi berminat untuk menjalankan kajian berkaitan Covid-19.

Menurutnya, mesyuarat tersebut akan diadakan di Institut Kesihatan Negara, di Setia Alam, Selangor pada 14 Februari ini.

-BERNAMA


Pengarang :