AGENDABERITA UTAMAGLOBAL

Covid-19: Itali laksana sekatan perjalanan, kuarantin

CODOGNO, ITALI 23 FEB: Kira-kira 50,000 penduduk di utara Itali bakal dikuarantin apabila negara itu mencatatkan dua kematian akibat Covid-19 bagi membendung penularan wabak itu.

Perdana Menteri Itali, Giuseppe Conte berkata penduduk di kawasan terjejas dihadkan pergerakan, manakala sekolah dan perniagaan ditutup, lapor AFP.

“Di zon dikenal pasti kawasan panas, penduduk tidak dibenarkan keluar atau masuk tanpa kebenaran khas,” katanya pada sidang media.

Conte berkata, tempoh kuarantin akan berkuat kuasa untuk beberapa minggu, mengambil kira tempoh jangkitan akibat virus terbabit.

“Kira-kira 50,000 penduduk terkesan dengan arahan kuarantin ini. Selain itu, pihak berkuasa Itali sudah mengarahkan tiga perlawanan Serie A ditunda.

“Saya meminta semua rakyat supaya tenang dalam kita berhadapan dengan situasi semasa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Perlindungan Awam Itali, Angelo Borelli, berkata sebanyak 79 kes positif Covid-19 dicatatkan setakat ini termasuk dua daripadanya membabitkan kematian.

Itali menjadi negara pertama di Eropah mencatatkan kematian membabitkan rakyatnya akibat Covid-19 menyebabkan kerajaan mengambil pendekatan melaksanakan sekatan perjalanan di puluhan bandar.


Pengarang :