Kelihatan beberapa pelancong memakai penutup mulut dan hidung sebagai langkah pencegahan jangkitan koronavirus 2019 ketika tinjauan di ibu negara pada 27 Januari 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: Johor nafi sebuah sekolah diarah tutup

KUALA LUMPUR, 13 FEB: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) tidak pernah mengarah penutupan sebuah sekolah jenis kebangsaan (Cina) di Johor Bahru mahupun menghalang murid sekolah itu daripada menghadiri kelas berikutan ancaman jangkitan Covid-19, kata Pengarah Kesihatan Negeri.

“Pihak jabatan menafikan tindakan yang diambil adalah atas arahan jabatan,” kata Dr Aman Rabu dalam satu kenyataan di Facebook JKNJ malam tadi.

Beliau mengulas berita tular di media sosial mengenai seorang murid di sekolah berkenaan yang ibu bapanya disahkan positif Covid-19. Berita itu menyatakan pihak sekolah telah mengambil tindakan tutup kelas dan melarang murid mendekati kelas.

“Pihak sekolah telah mendapat maklumat daripada sumber lain yang belum disahkan dan mengambil tindakan pencegahan jangkitan sendiri,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Aman berkata sekolah terbabit adalah sekolah seorang kanak-kanak yang merupakan kontak kepada kes virus itu yang dirawat di Singapura sejak 10 Februari lepas.

“JKNJ menjalankan pengesanan kontak kes Covid-19, termasuk langkah-langkah pencegahan dan kawalan di kediaman kes. Terdapat tiga kontak rapat yang dikenal pasti iaitu isteri dan dua orang anak, berumur enam dan lapan tahun,” katanya.

Katanya, hasil siasatan ke atas kedua-dua adik-beradik itu mendapati mereka negatif jangkitan Covid-19 dan masih diisolasi di hospital sebagai kontak kes positif manakala status isteri pesakit masih dalam siasatan hospital.

Dalam pada itu, Dr Aman menegaskan maklumat peribadi dan nama pesakit yang terpapar di laman media sosial merupakan pelanggaran hak peribadi individu berkenaan.

“Pihak jabatan tidak terbabit dalam pendedahan itu dan siasatan masih dijalankan ke atas kes tersebut,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :