Pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia mengimbas penumpang yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang pada 21 Januari 2020 ketika pihak berkuasa meningkatkan pemantauan terhadap Covid-19. Foto AFP
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19: Malaysia sekat sementara kemasukan pelawat dari Korea Selatan

PUTRAJAYA, 28 FEB: Malaysia menyekat sementara kemasukan semua pelawat dari Korea Selatan termasuk warganegara asing yang pernah berada di bandar Daegu dan daerah Cheongdo dalam tempoh 14 hari sebelum ketibaan di negara ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan sekatan itu turut meliputi pelawat yang melakukan transit melalui Malaysia.

Menurut kenyataan itu, warganegara Malaysia, penduduk tetap dan pemegang pas (pas lawatan sosial jangka panjang dan pas pelajar) yang pernah berada di kedua-dua kawasan tersebut dalam tempoh 14 hari sebelum ketibaan ke Malaysia juga perlu menjalani saringan kesihatan oleh KKM.

“Bagi meningkatkan kawalan di pintu masuk antarabangsa negara, Jabatan Imigresen akan turut menyediakan kaunter khas untuk pelawat dari Korea Selatan, Jepun, Itali dan Iran,” katanya.

Sekatan berkuat kuasa serta merta diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Kluster Covid-19 Bersama Pelbagai Agensi yang diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Ia turut melibatkan KKM, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen, Kementerian Luar Negeri dan agensi lain yang berkaitan.

KKM berkata pihak berkuasa negara ini akan membuat penilaian berterusan dalam usaha mengawal dan menghapuskan wabak Covid-19 di mana langkah sekatan sementara akan dibatalkan sekiranya keadaan kembali pulih.

“Berdasarkan perkembangan terkini wabak itu, rakyat Malaysia dinasihatkan supaya menangguhkan perjalanan ke wilayah atau bandar yang diisytiharkan sebagai kawasan wabak Covid-19 di China dan juga Korea Selatan, Jepun, Itali dan Iran.

“Orang awam yang bergejala dalam tempoh 14 selepas pulang dari melawat China, Korea Selatan, Jepun, Itali dan Iran juga disaran memaklumkan mengenai sejarah perjalanan tersebut apabila mendapatkan rawatan dari mana-mana pusat kesihatan,” katanya.

Dalam pada itu, dua kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini membabitkan wanita warga Jepun berusia 41 tahun yang bekerja di Malaysia serta lelaki warganegara Itali berumur 54, menjadikan jumlah kumulatif kes itu sehingga kini sebanyak 25 kes.

Bagi wanita Jepun yang juga kes ke-24, KKM berkata beliau mempunyai sejarah perjalanan ke Jepun pada Januari dan Indonesia awal bulan ini.

Menurut kernyataan tersebut, pesakit itu mempunyai gejala deman dan mendapat rawatan pada 17 Feb lalu sebelum dimasukkan ke sebuah hospital swasta pada 20 Feb di mana ujian pengesanan COVID-19 telah dijalankan dan wanita itu disahkan positif pada 27 Feb.

Pesakit kini sedang dirawat di wad isolasi Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Bagi kes ke-25, KKM berkata lelaki itu yang berkahwin dengan warganegara Malaysia dan menetap di negara ini, mempunyai sejarah perjalanan ke Itali atas urusan kerja pada 15 dan 21 Februari lalu sebelum mengalami gejala demam, batuk, sakit sendi dan sakit badan pada 22 Februari.

Lelaki itu kemudiannya mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar bagi gejala yang dialaminya selama tiga hari berturut-turut bermula pada 23 Februari dan ujian saringan pengesanan yang dijalankan ke atasnya mengesahkan beliau positif Covid-19 pada 28 Februari.

Pesakit telah dimasukkan ke wad isolasi Hospital Sungai Buloh untuk rawatan dan pemantauan lanjut, menurut kenyataan itu.

KKM berkata setakat ini hanya tiga kes positif Covid-19 masih menerima rawatan daripada keseluhan 25 kes selepas 22 pesakit sembuh sepenuhnya dan dibenarkan pulang.

-BERNAMA


Pengarang :