Seramai 66 individu yang dibawa pulang dari Wuhan, China selamat tiba di negara ini dengan menaiki pesawat khas AirAsia di Unit Kecemasan Udara (ADU), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 26 Februari 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: Misi kedua bawa pulang rakyat Malaysia lebih lancar

SEPANG, 26 FEB: Pengalaman mengendalikan misi pertama membawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan, China susulan wabak Covid-19 pada 4 Februari lepas membantu melancarkan operasi sama hari ini.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman berkata Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) kali ini lebih teratur kerana semua pihak yang terlibat sudah mengetahui tanggungjawab dan peranan masing-masing.

Beliau berkata, perjalanan operasi hari ini juga akan didokumentasi agar prosedur operasi standard (SOP) yang diguna boleh menjadi panduan untuk misi yang sama pada masa akan datang.

“Pada misi pertama, kami agak khuatir terhadap beberapa kemungkinan yang boleh berlaku kerana itu pengalaman pertama buat semua agensi yang terlibat.

“(Tetapi kita lihat) Pengurusan operasi hari ini telah dilaksanakan dengan baik kerana semua rancangan kita hari ini dibuat berdasarkan pengalaman pada misi lepas,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Pesawat khas misi kedua membawa pulang rakyat Malaysia, pasangan dan anak mereka dari Wuhan, China, susulan wabak Covid-19, tiba di KLIA, pada pukul 6.45 pagi.

Semalam, pesawat khas itu berlepas ke Wuhan di wilayah Hubei dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (Klia2) pada pukul 5.58 petang.

Seramai 66 orang terdiri daripada 46 rakyat Malaysia dan 20 tanggungan (pasangan/anak) mereka yang bukan warga negara dibawa pulang melalui penerbangan khas itu yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Wuhan Tianhe pada pukul 1.45‬ pagi.

Seramai 287 anggota daripada pelbagai agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis dan Kementerian Kesihatan, terlibat dengan misi hari ini.

Mohtar berkata, setakat ini tiada rancangan untuk mengadakan misi ketiga untuk membawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan, China.

“Setakat ini, kami tidak merancang untuk melaksanakan misi ketiga, tetapi kami akan melihat situasi terkini dan jika ada keperluan kami lihat balik (mengadakan misi ketiga),” katanya.

Pada 4 Februari lepas, kerajaan Malaysia berjaya membawa pulang 107 rakyat Malaysia yang terkandas di wilayah Hubei, melalui misi pertama HADR.

– BERNAMA


Pengarang :