AGENDANASIONAL

Covid-19: Persidangan Halal Dunia ditunda September

KUALA LUMPUR, 19 FEB: Persidangan Halal Dunia (WHC) 2020 kali ke-12 yang dijadualkan berlangsung pada 1 dan 2 April ini di sini ditunda ke 1 dan 2 September susulan penularan jangkitan Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Halal Development Corporation (HDC), Hairol Ariffein Sahari berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan teliti bersama pihak berkepentingan termasuk dengan beberapa kementerian dan agensi kerajaan.

“Walaupun situasi virus Covid-19 di Malaysia masih lagi terkawal, namun sekatan perjalanan yang dikeluarkan oleh beberapa negara telah menyebabkan banyak gangguan perjalanan dan ketidakpastian.

“Kesihatan dan keselamatan peserta WHC menjadi keutamaan kami dan selari dengan langkah keselamatan yang disyorkan, kami memutuskan untuk mengambil langkah berjaga-jaga tambahan dan akan menganjurkan WHC 2020 pada September nanti,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

WHC ialah persidangan tahunan kepimpinan pemikiran antarabangsa yang mengumpulkan wakil kerajaan, pemain industri halal, usahawan dan ilmuan dari seluruh dunia di Kuala Lumpur dengan menyediakan platform wacana intelektual bagi membincangkan pembangunan industri halal serta mencipta kekayaan melalui teknologi dan inovasi.

– BERNAMA


Pengarang :