Pegawai perubatan memeriksa seorang pesakit yang dijangkiti Covid-19 di sebuah hospital di Zouping, China pada 28 Januari 2020. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Covid-19: Pertama kali China catat bilangan pesakit pulih atasi kes baharu

BEIJING, 19 FEB: Buat pertama kali China mencatatkan bilangan pesakit Covid-19 yang pulih mengatasi jumlah kes baharu, memetik Suruhanjaya Kesihatan Negara, lapor agensi berita Xinhua.

Pada Selasa menyaksikan seramai 1,824 orang dibenarkan keluar hospital, lebih tinggi berbanding jumlah yang dijangkiti iaitu 1,749.

Keseluruhan sejumlah 14,376 pesakit yang dijangkiti dibenarkan keluar hospital sehingga Selasa.

Bilangan kes baharu yang disahkan di luar wilayah Hubei, menunjukkan penurunan sejak 15 hari berturut-turut. Sejumlah 56 kes baharu dilaporkan di luar Hubei, penurunan ketara dari 890 pada 3 Februari, menurut suruhanjaya itu.

Suruhanjaya itu berkata pihaknya menerima laporan sebanyak 1,749 kes baharu yang disahkan pada Selasa dari 31 wilayah, termasuk 1,693 di Hubei.

Kes terbaru Covid-19 di China menurun kepada 1,886 pada Isnin, buat kali pertama berada di bawah 2,000 sejak 31 Januari.

– BERNAMA


Pengarang :