Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: Portal khidmat nasihat dalam talian tangani kerisauan awam

KUALA LUMPUR, 19 FEB: Kementerian Kesihatan (KKM) bekerjasama dengan DoctorOnCall dalam membangunkan portal Khidmat Nasihat Dalam Talian atau Virtual Health Advisory bagi membantu menangani keperluan “risk communication” tentang Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kerjasama dijalin melalui satu memorandum persefahaman (MoU) itu merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada DoctorOnCall, yang boleh diakses oleh orang awam secara percuma bagi mendapatkan khidmat nasihat pakar berkaitan untuk menjawab sebarang ketidakpastian mengenai Covid-19.

“Hasil kolaborasi erat antara Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Pakar Perubatan Keluarga dan DoctorOnCall, portal Khidmat Nasihat Dalam Talian ini berjaya dihasilkan dalam tempoh empat hari dan berjaya “go live” pada 17 Februari lepas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau, bagaimanapun berkata perkhidmatan itu hanya untuk memberi nasihat kesihatan dan bukannya mendiagnos atau merawat pesakit.

Katanya, khidmat nasihat akan disalurkan secara terus dengan Pakar Perubatan Keluarga atau Pegawai Perubatan KKM disediakan melalui chat, audio dan video melalui capaian internet menggunakan peranti mudah alih atau komputer “desktop” yang dilengkapi kemudahan kamera.

Dr Noor Hisham berkata KKM mengalu-alukan kolaborasi itu kerana ia boleh membantu menangani kebimbangan dan mengurangkan keperluan untuk mendapatkan nasihat mengenai gejala jangkitan pernafasan atau Covid-19 secara fizikal di klinik atau hospital.

“Virtual Health Advisory” ini diharap dapat membantu menyebarkan informasi terkini dan sahih/tepat tentang Covid-19, mengurangkan kesesakan di fasiliti kesihatan, dan menyediakan “preliminary Virtual Health Advisory screening/triage” untuk pelanggan sebelum ke fasiliti kesihatan,” katanya.

Sementara itu, DoctorOnCall dalam satu kenyataan berkata portal itu merupakan inisiatif pertama seumpamanya dan disediakan percuma kepada rakyat melalui laman sesawang www.moh.gov.my (klik ke laman koronavirus) atau www.doctoroncall.my/coronavirus.

“Seramai 20 doktor pakar KKM terdiri daripada Pakar Perubatan Keluarga akan bertugas secara giliran, bersama pasukan digital kami, sentiasa bersiap sedia untuk memastikan kelancaran portal ini dalam menjawab pertanyaan oleh orang awam,” menurut kenyataan itu.

DoctorOnCall merupakan satu platform kesihatan digital yang pertama dan terbesar di Malaysia. Ia menawarkan konsultasi dalam talian, farmasi dalam talian, penghantaran ubat, rencana-rencana kesihatan, tempahan doktor dan doktor pakar.

– BERNAMA


Pengarang :