Dua orang wanita mengenakan pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga susulan penularan Covid-19 ketika bersiar-siar di Singapura pada 14 Februari 2020. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Covid-19: Singapura catat kes ke-91, 58 dibenarkan pulang

SINGAPURA, 25 FEB: Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) hari ini mengesahkan satu lagi kes jangkitan Covid-19 di republik itu yang dikaitkan dengan kluster di The Life Church and Missions Singapore.

Dalam satu kenyataan hari ini, MOH berkata kes ke-91 itu membabitkan seorang wanita rakyat Singapura berusia 58 tahun yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke China baru-baru ini.

Kenyataan itu menyebut beliau mempunyai kaitan dengan kes ke-66 iaitu seorang lelaki rakyat Singapura berusia 28 tahun yang juga tidak mempunyai sejarah perjalanan ke China baru-baru ini dan telah disahkan dijangkiti virus Covid-19 pada 14 Februari.

Semasa dikenal pasti sebagai kontak bagi kes ke-66, wanita itu telah dirujuk oleh MOH kepada Pusat Kebangsaan Penyakit Berjangkit (NCID) pada 18 Februari dan keputusan ujian mengesahkan beliau dijangkiti COVID-19 pada 22 Februari.

Kes baharu itu telah menyaksikan bilangan kes yang dikaitkan dengan kluster The Life Church and Missions Singapore di Paya Lebar Road meningkat kepada lapan.

Selain itu, MOH berkata enam kes daripada kluster gereja tersebut kini dikaitkan dengan 23 lagi kes yang telah disahkan dan mempunyai kaitan dengan kluster gereja Grace Assembly of God.

Sementara itu, sembilan kes lagi dikaitkan dengan kluster kedai ubat Yong Thai Hang; tiga dengan mesyuarat perniagaan swasta yang berlangsung di Hotel Grand Hyatt Singapura; dan lima dengan tapak pembinaan Seletar Aerospace Heights.

Menurut MOH, lima lagi kes jangkitan COVID-19 telah dibenarkan keluar dari hospital hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini ialah 58 orang termasuk kes ke-91.

Daripada sejumlah 33 kes yang disahkan dan masih berada di hospital, kementerian itu berkata kebanyakannya stabil atau semakin pulih manakala tujuh pesakit dalam keadaan kritikal dan ditempatkan di unit rawatan rapi.

Sehingga tengah hari tadi, MOH telah mengenal pasti 2,846 kontak rapat yang telah dikuarantin dan daripada jumlah ini, 371 sedang dikuarantin dan 2,475 telah menyempurnakan tempoh kuarantin mereka.

– BERNAMA


Pengarang :