Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
BERITA UTAMANASIONAL

Covid-19: Wanita warga tempatan pulih, dibenarkan pulang

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Seorang wanita warga Malaysia berusia 40 tahun yang disahkan positif Covid-19 pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang petang semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan wanita berkenaan adalah kes ke-13 yang dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan disahkan positif COVID-19 pada 5 Februari lepas.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 yang pulih sepenuhnya dan discaj sehingga hari ini 18 dengan empat masih dirawat di wad dan kesemua mereka berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan setakat 23 Februari lalu, secara kumulatif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 22 kes Covid-19 termasuk 20 kes import atau dari luar iaitu kes yang mempunyai sejarah perjalanan dari atau tinggal di luar negara, khususnya dari China.

Baki dua kes lagi adalah dalam kalangan ahli keluarga kepada satu daripada kes Covid-19 yang merupakan warga Malaysia.

“Mengambil kira dapatan ini, KKM telah bertindak proaktif dengan memperkukuhkan Survelan Covid-19 bagi mengesan kes dalam kalangan masyarakat tempatan.

“Sistem survelan ini mengguna pakai konsep yang sedia dilaksanakan bagi Sistem Survelan Influenza – iaitu melalui pengesanan kes jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) dan pengesanan kes influenza-like illness (ILI) yang memenuhi kriteria, masing-masing di peringkat hospital serta Klinik Kesihatan yang telah dikenal pasti,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata sehingga kini tiada sampel dikesan positif Covid-19 daripada sejumlah sampel diambil dan diuji melalui sistem survelan tersebut.

— BERNAMA


Pengarang :