Aksi ceria dua orang pesakit di bawah pengawasan (patient under surveillance) ketika proses keluar dari Pusat Pemantauan di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) pada 18 Februari 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: Warga maya Jepun kagum, puji langkah Malaysia

KUALA LUMPUR, 20 FEB: “Malaysia memang hebat”. Itulah ungkapan diberikan oleh warga maya Jepun terhadap usaha kerajaan Malaysia membendung dan mencegah jangkitan koronavirus baharu atau Covid-19.

Ia merupakan salah satu daripada seribu respons warga maya Jepun kepada ciapan yang memuji garis panduan Malaysia kepada rakyatnya susulan wabak Covid-19 di China.

Berdasarkan makum balas, warga maya ini mengalu-alukan tindakan kerajaan Malaysia dalam mengeluarkan nasihat melalui Kementerian Sumber Manusia (KSM) pada 6 Februari lalu bagi mengekang penularan Covid-19 di Malaysia.

Semuanya bermula apabila seorang pemilik akaun Twitter, dengan nama @kurakuranet, menciap semula garis panduan KSM. Adalah dipercayai pemilik akaun @kurakuranet tinggal di Malaysia.

Seorang warga maya menulis tweet dalam bahasa Jepun yang berbunyi: “Dasar Malaysia melindungi orang yang dijangkiti…yang lebih baik sebagai sebuah negara.”

Garis panduan KSM menyatakan:

Majikan hendaklah mengarahkan pekerja menjalankan pemeriksaan dengan segera dan perbelanjaan ditanggung majikan.
Pemeriksaan oleh pengamal perubatan berdaftar atau pegawai perubatan yang ditetapkan mengikut Seksyen 60F Akta Pekerjaan 1955.
Memberikan gaji penuh kepada pekerja yang mendapat perintah kuarantin daripada pengamal perubatan berdaftar dari negara kaitan dengan kes Covid-19- kerana ia kewajipan daripada majikan.
Tidak boleh mengarahkan pekerja menggunakan cuti tahunan atau mengambil cuti tanpa gaji semasa tempoh kuarantin.
Memberi cuti sakit berbayar atau kelayakan hospital semasa tempoh kuarantin pekerja, sama ada di rumah atau hospital.
Digalakkan memberikan imbuhan tambahan kepada pekerja jika perintah kuarantin melebihi cuti sakit atau kelayakan kemasukan ke hospital.
Tidak boleh menghalang pekerja datang bekerja jika tiada perintah kuarantin dikeluarkan oleh pengamal perubatan berdaftar, namun boleh mengarahkan pekerja tidak sihat untuk tidak hadir dengan menyediakan cuti sakit berbayar.

“Ini adalah hebat,” ciap seorang warga maya dan berkata ia berharap kerajaan Jepun akan mencontohi Malaysia.

“Ini adalah bagaimana sebuah negara yang serius perlu dalam mencegah penularan jangkitan,” ciap seorang lagi warga maya.

”Contoh pengurusan risiko,” ulas seorang pemilik akaun Twitter yang turut memuji langkah kerajaan Malaysia itu.” Ini adalah untuk menunjukkan Malaysia tahu (bagaimana) menghargai sumber negara. Pada akhirnya, rakyat adalah sumber paling penting di sebuah negara,” menurut ciap tersebut.

Berikutan tercetus Covid-19 di Wuhan, China, Disember lalu, jangkitan tersebut telah menular kepada 27 negara dengan 75,725 kes dilaporkan dengan 2,128 kematian, kebanyakan di China.

Sejumlah 16,108 pesakit telah pulih daripada jangkitan tersebut.

– BERNAMA


Pengarang :