AGENDANASIONAL

Covid-2019: KPDNHEP serah laporan pertemuan dengan pemain industri kepada PM

PUTRAJAYA, 20 FEB: Laporan hasil pertemuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan pemain industri bagi mendapatkan syor susulan fenomena Covid-2019, telah diserahkan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pertemuan dengan pemain industri berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha kementerian itu mengumpul cadangan bagi pakej rangsangan ekonomi yang bakal diumumkan kerajaan.

“Apabila kita mengetahui tentang bacaan (ekonomi) pada suku keempat dan berdepan dengan masalah Covid-2019, maka arahan Perdana Menteri adalah untuk kementerian-kementerian terbabit dalam menguruskan sektor masing-masing, misalnya di bawah KPDNHEP adalah sektor perdagangan dalam negeri. Jadi Perdana Menteri mengarahkan supaya dibuat satu libat urus dengan pemegang taruh berkenaan.

“Saya telahpun mengadakan (pertemuan dengan pemain industri) di peringkat kementerian (saya) dan laporan hasil pertemuan itu telah diserahkan kepada Perdana Menteri semalam. Ini adalah persiapan kementerian, untuk memberi cadangan sebelum satu pengumuman mengenai pakej rangsangan ekonomi dibuat,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata demikian ketika ditanya mengenai draf pakej rangsangan ekonomi, selepas menghadiri majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2019 Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata laporan itu merupakan inisiatif kerajaan, untuk mengambil kira pandangan industri serta meneliti syor mereka dalam pakej rangsangan ekonomi yang akan diumumkan Dr Mahathir, pada 27 Februari ini dalam usaha mengurangkan impak ekonomi luaran, berikutan penularan Covid-2019.

Menurutnya fungsi KPDNHEP sebagai fasilitator, adalah menguruskan perkara yang berkaitan dengan kedudukan ekonomi sekarang dan kesan fenomena Covid-2019 kepada sektor perdagangan dalam negeri.

– BERNAMA


Pengarang :