AGENDANASIONAL

Dewan Rakyat tunggu surat Dr Mahathir – Speaker

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Semua proses berkaitan pemilihan perdana menteri baharu pada persidangan khas Dewan Rakyat pada 2 Mac depan akan diumumkan kemudian, maklum Speaker Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Beliau berkata urusan itu akan ditentukan selepas menerima surat yang lengkap daripada Perdana Menteri sementara Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Apabila saya terima surat yang lengkap daripada PM (Perdana Menteri) berserta dengan usulnya, saya akan keluarkan kenyataan,” katanya ketika dihubungi Bernama melalui aplikasi WhatsApp hari ini.

Terdahulu, Dr Mahathir mengumumkan Dewan Rakyat akan mengadakan persidangan khas pada Isnin depan (2 Mac) untuk menentukan pemimpin manakah yang mempunyai majoriti untuk dipilih sebagai perdana menteri kelapan Malaysia.

Negarawan berusia 94 tahun itu juga berkata jika sesi persidangan khas Dewan Rakyat itu gagal mencapai majoriti sewajarnya untuk memilih perdana menteri, maka Parlimen akan dibubarkan untuk memberi laluan kepada pilihan raya mengejut.

Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri pada Isnin lepas susulan kemelut politik yang tercetus apabila pihak-pihak tertentu cuba wujudkan pengaturan semula landskap politik negara yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) hilang kuasa.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Al-Sultan Abdullah kemudian berkenan melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri interim.

-BERNAMA


Pengarang :