AGENDANASIONAL

Dividen 2019 KWSP terbaik ketika ramalan lebih rendah

SHAH ALAM, 23 FEB: Keupayaan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan dividen 2019 pada kadar 5.45 peratus untuk konvensional dan 5 peratus untuk syariah dianggap sangat bagus kerana ia diramalkan lebih rendah sebelum ini, kata Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak.

Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata kadar terbaik itu diberikan walaupun dalam keadaan pasaran saham dan pelaburan yang tidak baik pada ketika ini, lapor Sinar Harian.

“Pasaran saham kita sebenarnya sudah turun lebih daripada enam peratus sejak awal 2019, jadi sepatutnya ia mencerminkan aset KWSP telah mengalami penurunan nilai secara purata tetapi masih boleh umumkan dividen sebanyak 5.45 peratus.

“Ini menunjukkan KWSP adalah pengurus aset yang bagus kerana berjaya menghadalang kejatuhan dalam pasaran saham dan saya fikir mereka telah berjaya menerusi pelaburan seperti bon, sukuk dan pelaburan yang mempunyai pulangan tetap,” katanya.

Beliau berkata KWSP juga berjaya mengurangkan kesan daripada kejatuhan pasaran saham tempatan dengan melabur di arena antarabangsa seperti pasaran saham New York yang jauh lebih baik daripada Malaysia.


Pengarang :