Selangorkini
Kelihatan kereta yang membawa Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Yayasan Al-Bukhary bagi perjumpaan bersama ahli Bersatu pada 28 Februari 2020. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Dr Mahathir jumpa ahli Parlimen Bersatu di Yayasan Al-Bukhary

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berada di Bangunan Yayasan Al-Bukhary di sini, dipercayai untuk bertemu dengan anggota Parlimen parti berkenaan.

Perdana Menteri interim tiba di pejabatnya pada 9.12 pagi dengan menaiki Mercedes bernombor pendaftaran Rimau 1925, yang dilihat memasuki perkarangan bangunan itu diikuti beberapa kenderaan lain.

Mesyuarat yang difahamkan bermula 10 pagi, antara lain akan membincangkan perkembangan terkini politik negara serta parti termasuk kedudukan Bersatu sama ada akan kembali menyertai semula Pakatan Harapan (Pakatan).

Pada Isnin, Bersatu yang mempunyai 26 wakil rakyat daripada 222 kerusi Parlimen mengumumkan keluar daripada gabungan Pakatan.

Turut menjadi perhatian mengenai Bersatu kemungkinan parti itu menamakan Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri baharu.

-BERNAMA


Pengarang :