Tun Dr Mahathir Mohamad (kanan) menerima buku Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 daripada Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir di Perdana Putra Putrajaya pada 27 Februari 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Dr Mahathir umum pakej rangsangan ekonomi RM20 bilion

PUTRAJAYA, 27 FEB: Perdana Menteri sementara Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi RM20 bilion bagi memastikan risiko ekonomi berkaitan penularan wabak Covid-19 dapat ditangani dengan berkesan.

Pakej itu mempunyai tiga strategi utama iaitu menangani impak penyakit tersebut, memangkin pertumbuhan berteraskan rakyat dan menggalakkan pelaburan berkualiti, katanya.

Beliau berkata beberapa strategi dan rancangan juga akan dilaksanakan bagi memastikan ekonomi negara di landasan yang mampan.

Pakej Rangsangan Ekonomi itu diumumkan seperti yang dijadualkan walaupun negara menghadapi kemelut politik susulan cubaan mengatur semula landskap politik negara yang mengakibatkan kerajaan pusat Pakatan Harapan hilang kuasa.

Malaysia mencatatkan 22 kes positif Covid-19 dengan 20 individu telah pulih sepenuhnya setakat ini manakala di seluruh dunia kira-kira 80,000 orang telah dijangkiti penyakit itu dengan lebih 2,800 maut direkodkan terutamanya di China.

Dr Mahathir berkata antara impak serta merta terhadap ekonomi akibat penularan Covid-19 di peringkat serantau adalah penurunan kedatangan pelancong serta turut melibatkan hotel, penerbangan, syarikat pelancongan dan industri peruncitan secara meluas.

Bagi menangani keadaan tersebut, kerajaan akan memudahkan aliran tunai bagi perniagaan yang terkesan, bantuan kepada individu yang terjejas dan merangsang permintaan dalam industri pelancongan, katanya.

Beliau memulakan ucapannya dengan mengucap setinggi-tinggi penghargaan kepada petugas di barisan hadapan seperti doktor, jururawat, kakitangan perkhidmatan kesihatan, pegawai imigresen dan pegawai lain yang bertungkus lumus melindungi Malaysia daripada wabak tersebut.

Dr Mahathir berkata sebagai tanda penghargaan kepada mereka, kerajaan akan memberi elaun khas sebanyak RM400 sebulan kepada doktor dan kakitangan perubatan, dan RM200 kepada Imigresen dan kakitangan lain yang terlibat, berkuat kuasa Februari 2020 hingga wabak tersebut berakhir.

Kerajaan akan menyediakan peruntukan yang mencukupi bagi memastikan wabak itu dapat diuruskan dengan baik dan terkawal dan setakat ini Kementerian Kesihatan telah membelanjakan sebanyak RM150 juta bagi membeli peralatan, ubat, dan barangan guna pakai, katanya.

Bagi merangsang sektor pelancongan, katanya, kerajaan akan memberikan pelepasan cukai individu sehingga RM1,000 untuk perbelanjaan pelancongan domestik dan rakyat akan diberi baucar digital sehingga RM100 seorang bagi pelancongan domestik untuk penerbangan, kereta api dan penginapan di hotel berlesen.

Beliau berkata kerajaan juga akan menyediakan geran padanan sebanyak RM500 juta untuk mempromosi pelancongan serta melonggarkan arahan untuk mengehadkan penggunaan hotel oleh agensi kerajaan.

Kadar caruman minimum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikurangkan sebanyak empat peratus iaitu daripada 11 peratus kepada tujuh peratus, bermakna RM10 bilion akan kekal di tangan pencarum berkuat kuasa sehingga akhir tahun ini bagi merangsang permintaan domestik.

Dr Mahathir berkata pembayaran Bantuan Sara Hidup bulan Mei sebanyak RM200 akan diawalkan ke Mac dan setiap penerima akan mendapat tambahan RM100 dikreditkan ke dalam akaun bulan Mei dan seterusnya tambahan RM50 akan disalurkan secara e-tunai.

Untuk meningkatkan pendapatan rakyat dan mengurangkan kos sara hidup, beliau berkata inisiatif diambil termasuk Bank Negara akan menyediakan RM1 bilion untuk Tabung AgroFood bagi menggalakkan aktiviti pengeluaran makanan bagi memenuhi permintaan domestik dan eksport.

Beliau berkata peruntukan RM10 juta akan diberikan kepada FAMA untuk menyediakan kemudahan simpanan makanan supaya harga makanan dapat dikurangkan.

Pakej itu juga memberi tumpuan terhadap kawasan luar bandar.

Kerajaan akan menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM2 bilion bagi menyelenggara dan membaiki infrastruktur kecil seluruh negara, terutamanya di luar bandar.

“Kerajaan berharap rakyat terus cekal, berani dan tekun bagi menghadapi cabaran yang dihadapi sekarang dan menjadi lebih mampan dalam melalui episod ini,” katanya.

Ini merupakan kali kedua bagi Dr Mahathir membentangkan pakej rangsangan ekonomi dengan sebelum ini pada 2003 semasa beliau sebagai Perdana Menteri keempat membentangkan pakej ekonomi RM8.1 bilion untuk menangani krisis berkaitan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS).

– BERNAMA


Pengarang :