AGENDANASIONAL

Dr Wan Azizah ucap takziah kepada keluarga Ashraf Sinclair

KUALA LUMPUR, 18 FEB: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengucapkan takziah kepada keluarga artis Ashraf Sinclair yang meninggal dunia akibat serangan jantung awal pagi tadi di Jakarta.

“Takziah buat keluarga Allahyarham Ashraf Sinclair yang kembali ke rahmahtullah hari ini.

“Semoga keluarganya tabah menghadapi dugaan ini dan semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman,” katanya dalam catatan di laman Twitter dan Facebook.

Menurut agensi berita Antara yang memetik Dodi, iaitu pengurus kepada Bunga Citra Lestari (isteri kepada Ashraf), Ashraf, 40, meninggal dunia di Rumah Sakit Metropolitan Medical Centre (MMC) di Kuningan pada 4.51 pagi.

Ashraf atau nama sebenarnya Ashraf Daniel Mohamed Sinclair yang lahir di London, England ialah artis Malaysia yang mengahwini Bunga Citra Lestari pada 2008, dan dikurniakan seorang anak, Noah Aidan Sinclair, 10.

Menurut Dodi, setakat ini belum diputuskan tempat dan waktu pengebumian jenazah artis yang pernah membintangi filem ‘Gol & Gincu’ itu.

Ashraf kemudian meneruskan kariernya di Indonesia dan popular menerusi filem komedi romantis, Saus Kacang, pada 2008 dan beberapa siri sinetron (drama bersiri).

Sementara itu, berita pemergian selebriti yang mencipta nama di Indonesia itu mengejutkan industri hiburan tanah air dengan kebanyakan rakan artis mengucapkan takziah kepada Allahyarham Ashraf menerusi gambar perkongsian terakhir di akaun rasmi Instagram abang ipar kepada penyanyi Yuna itu.

Antara selebriti yang berkongsi kesedihan menerusi ruangan komen dalam media sosial itu ialah usahawan dan pengacara terkenal, Neelofa, @neelofa: “innalillahiwainnailaihirojiun may Allah grant him jannat-ul-firdos and his family patience” (semoga Allah mengurniakan syurga firdaus kepada arwah dan ketabahan kepada keluarganya).

Model dan pelakon Indonesia, Dian Sastrowardoyo @therealdisastr turut berkongsi: “Semoga dipermudahkan segala urusannya, semoga dikuatkan keluarganya. Still can’t believe this happening (Masih tidak percaya ia terjadi).”

Selebriti tempatan, Yasmin Hani pula (@yasminhani) mendoakan agar keluarga Allahyarham tabah menghadapi pemergiannya dengan kata-kata: ”Moga Allah beri kekuatan dan kesabaran pada @bclsinclair, noah, parents, family members, friends n all of us (ibu bapa, ahli keluarga, sahabat dan kita semua).”

– BERNAMA


Pengarang :