BERITA UTAMAJENAYAH

Dua ditahan disyaki dalang provokasi kekecohan majlis Armada

SHAH ALAM 1 FEB: Dua individu ditahan polis disyaki dalang provokasi dan kekecohan ketika perjumpaan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semalam, kata ketua polis negara.

Tan Sri Abdul Hamid Bador dalam kenyataan media berkata mereka diberkas bagi membantu siasatan dan pihaknya masih giat mengesan individu lain terbabit dalam kes sama.

“Saya memandang serius insiden provokasi dan ancaman dilakukan terhadap Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika program rapat umum Armada Bersatu di Ulu Tiram, Johor, semalam.

“Insiden itu dilakukan pihak yang tidak bertanggungjawab dan gagal menghormati undang-undang negara,” kata Abdul Hamid.

Belia berkata polis menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat kes itu secara telus, tegas dan berintegriti tanpa sebarang kompromi terhadap pihak didapati melanggar undang-undang.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 153, 355, 357 dan 506 Kanun Keseksaan masing-masing kerana mendatangkan kebangkitan marah menyebabkan rusuhan, menyerang atau menggunakan kekerasan dengan niat menjatuhkan kehormatan seseorang, menyerang atau menggunakan kekerasan untuk mengurung orang secara salah dan menakutkan seseorang secara jenayah.

Abdul Hamid menggesa semua pihak menghormati kedaulatan undang-undang dan tidak menimbulkan provokasi sehingga mencetuskan ketidaktenteraman awam.

“Orang ramai diseru tidak mempolitikkan insiden ini dan menyebarkan maklumat tidak berasas melalui mana-mana platform komunikasi atau media sosial, bagi mengelakkan tercetusnya ketidaktenteraman awam,” katanya.


Pengarang :