AGENDANASIONAL

Dua individu disyaki buang minyak campur pelarut ditahan

KUALA LUMPUR, 16 FEB: Jabatan Alam Sekitar (JAS) berjaya menahan dua individu yang disyaki menjadi dalang dalam aktiviti membuang minyak bercampur pelarut ke dalam lurang kumbahan (manhole) di Jalan TS 6/7, Kawasan Industri Subang, Selangor dalam satu serbuan yang dilakukan semalam.

Kenyataan yang dikeluarkan JAS hari ini memaklumkan serbuan hasil intipan yang dilakukan itu membawa kepada penahanan seorang pemandu lori dan penjaga premis.

“Sebuah lori tangki bermuatan 37,000 liter yang sedang memindahkan minyak hitam bercampur pelarut ke dalam ‘skid tank’ dalam premis serta sebuah premis yang terdapat kesan-kesan pembuangan sisa minyak hitam ke dalam lurang kumbahan premis turut disita.

“Di samping itu, sebanyak empat sampel buangan telah diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia bagi analisis komposisi buangan,” menurut kenyataan itu.

Siasatan lanjut di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 akan diteruskan bagi menjejaki saki-baki sindiket dan syarikat-syarikat yang mungkin turut terlibat dengan kes-kes pembuangan sisa kimia ke lurang kumbahan dan punca-punca pelupusan haram buangan terjadual di Negeri Selangor sebelum ini berdasarkan modus operandi yang sama.

Intipan dan serbuan itu dilakukan selepas penduduk dan pekerja kilang di sekitar terutamanya penduduk Pangsapuri Angsana dan Pangsapuri Jati sering mengadu berkenaan pencemaran bau yang kuat sehingga menyebabkan mereka sesak nafas.

“JAS memberi amaran keras bahawa mereka yang didapati bersalah melakukan pelupusan haram bahan toksik dan berbahaya akan didenda tidak melebihi RM500,000 dan dipenjara mandatori tidak melebihi lima tahun, di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974.

“Orang ramai juga digesa memberi kerjasama dengan menghubungi JAS sekiranya terdapat aktiviti mencurigakan di talian 1-800-88-2727,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :