Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (tengah) merangkap Ahli Parlimen Kuala Selangor menerima ‘hand sanitizer’ daripada Pengarah Urusan Elite Advanced Materials Sdn Bhd Goo Xn Yi (dua, kanan) selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PIBG SK Desa Aman Kali Ke-9 di Sungai Buloh hari ini. Turut hadir Guru Besar SK Desa Aman Shahidan Said (kanan) dan Yang Dipertua PIBG SK Desa Aman Mohd Razmi Khalid (kiri). Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Dua lagi kes positif Covid-19 dikesan – Dr Dzulkefly

KUALA SELANGOR, 15 FEB: Dua lagi kes positif virus Covid-19 disahkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini meningkat kepada 21 kes.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata dua kes terbaru itu melibatkan seorang lelaki dan wanita warga China.

Beliau berkata kes ke-20 ialah seorang ahli perniagaaan lelaki berusia 27 tahun dari Guangzhou yang dikesan bergejala ketika melalui saringan kesihatan di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di Bukit Kayu Hitam, Kedah semalam.

“Berikutan itu sampel klinikal (throat swab) telah diambil untuk tujuan pengesahan dan beliau dimasukkan di wad isolasi di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar Kedah. Pagi ini sampel ‘throat swab’ beliau disahkan positif Covid-19.

“Bagi kes ke-21, seorang wanita berusia 32 tahun yang menetap di negara ini tetapi membuat lawatan ke China pada 22 hingga 30 Januari lepas. Beliau disahkan positif Covid-19 pagi ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Desa Aman Desa Coalfield, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Dr Dzulkefly, yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor menyerahkan kira-kira 5,000 botol cecair pencuci tangan sumbangan Elite Advanced Materials Sdn Bhd, kepada 35 sekolah seluruh daerah itu.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau menasihati rakyat agar tidak panik dengan jangkitan virus Covid-19 kerana kerajaan telah bersiapsiaga dalam menghadapi situasi itu.

Dr Dzulkefly berkata walaupun kadar penularan virus itu tinggi di China iaitu pada kadar 4.8 hingga lima peratus, kadar penularan penyakit itu di Malaysia dan negara-negara lain seluruh dunia hanyalah pada kadar 0.5 hingga satu peratus.

“Kadar ini jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan virus Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dan Sindrom Pernafasan Virus Korona Timur Tengah (MERS-CoV) yang kadar penularannya pada 10 peratus dan 30 peratus,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :