SELANGOR

Dua restoran kotor, ada tikus ditutup

SHAH ALAM, 28 FEB: Jabatan Kesihatan Selangor menutup dua restoran di daerah Klang kerana beroperasi dalam persekitaran kotor serta terdapat kehadiran tikus dan lipas, kata pengarahnya.

Dato’ Indera Dr Sha’ari Ngadiman berkata arahan penutupan selama dua minggu dibuat mengikut peruntukan Akta Makanan 1983 ketika Ops Aduan Premis Makanan di kawasan berkenaan pada 19 Februari lalu.

“Tiga premis makanan diperiksa dan dua daripadanya diarah tutup. Pemilik diberi tempoh 14 hari untuk melakukan kerja pembersihan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dalam operasi sama, katanya, sebuah lagi premis diberi empat notis kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 kerana menggaji pekerja yang tiada latihan pengendali makanan, gagal mengekalkan kebersihan premis dan tong sampah tidak bertutup.

“Premis itu mempunyai tahap penilaian lebih 65 peratus dan empat notis kesalahan dikeluarkan di bawah peraturan sama iaitu Peraturan 11(1)(b) (menggaji pekerja tiada latihan pengendali makanan) serta 32(1)(b) (pekerja tidak memakai apron dan kasut),” katanya.


Pengarang :