Duta Besar Jepun ke Malaysia, Hiroshi Oka beramah mesra dengan murid Sekolah Rendah Agama (SRA) Integrasi Seksyen 19, Shah Alam pada 27 Februari 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Duta Jepun puji Jais terap nilai murni SRA Integrasi

SHAH ALAM, 27 FEB: Duta Besar Jepun ke Malaysia, Hiroshi Oka memuji pelaksanaan program Amal Khair Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang diterapkan kepada murid Sekolah Rendah Agama (SRA) Integrasi Seksyen 19 di sini.

Pertama kali berkunjung ke sekolah berkenaan, Hiroshi mengakui kagum dengan program penerapan nilai murni yang wajar dicontohi sekolah lain.

“Amalan baik ini termasuk Minda Mumtaz (sudut bacaan) khusus di bilik darjah, projek Haruman Kasturi yang menitikberatkan aspek penjagaan kebersihan tandas dan amalan pemakanan sihat melalui program Halalan Toyyiban dengan kerjasama kantin sekolah.

“Selain itu, Laluan Rosif untuk kaki lima dan perhimpunan bertujuan mendidik murid supaya lebih berdisiplin, amalan membaca menerusi program anjuran pusat sumber sekolah termasuk amalan infaq sebagai galakan bersedekah,” katanya selepas meninjau persekitaran sekolah itu hari ini.

Duta Besar Jepun ke Malaysia, Hiroshi Oka. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Hiroshi turut berbangga dengan kebolehan murid yang mampu menguasai dan bertutur bahasa Inggeris sepanjang waktu pembelajaran.

“Saya yakin ini semua atas usaha guru yang tidak pernah jemu mengajar mereka. Saya perlu memuji prestasi guru di sekolah ini,” katanya.

Dalam lawatan hampir empat jam, beliau diberi taklimat berhubung pembudayaan Amal Khair oleh Guru Besar, Filzah Mohd Nor sebelum menandatangani buku pengesahan lawatan.

Hadir sama Ketua Sektor Pengurusan Pendidikan Bahagian Pendidikan Islam Jais, Jaafar Komari dan Yang Dipertua Persatuan Ibubapa dan Guru sekolah berkenaan, Taqiuddin Amani Satar.


Pengarang :