Pekerja sedang meneliti kualiti sarung tangan getah di kilang memproses Top Glove di Kawasan Perindustrian Meru pada 10 Disember 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Eksport sarung tangan Malaysia dijangka lonjak hampir 20 peratus

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Eksport sarung tangan getah Malaysia dijangka melonjak hampir 20 peratus kepada 230 bilion pasang pada 2020, meningkat daripada 192 bilion pasang tahun lepas ketika dunia bersiap sedia dalam usaha untuk memerangi wabak membawa maut koronavirus 2019 (2019-nCoV).

Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) Denis Low berkata unjuran pertumbuhan eksport dijangka lebih tinggi berbanding 210-220 bilion pasang yang diunjurkan oleh persatuan itu sebelum ini.

“Ini bermakna hasil eksport sarung tangan getah juga dijangka berkembang lebih tinggi berbanding unjuran terdahulu sebanyak RM20.68 bilion,” katanya kepada Bernama semasa dihubungi pada Jumaat.

Memandangkan penyakit itu telah menular ke seluruh dunia, Low menjangkakan permintaan global terhadap sarung tangan getah meningkat sebanyak 15 hingga 20 peratus, naik daripada pertumbuhan permintaan biasa pada 8-10 peratus.

“Pada awalnya, dunia dijangka mengimport kira-kira 320 bilion pasang sarung tangan getah tahun ini berbanding 298 bilion pada 2019.

“Dengan penularan wabak ini, permintaan dijangkakan lebih tinggi lagi,” katanya.

Low yang memberi contoh pandemik Influenza A (H1N1) pada 2009 berkata permintaan terhadap sarung tangan getah meningkat 17 peratus pada tahun itu. Berdasarkan kepada situasi semasa H1N1 itu, beliau menjangkakan jualan sarung tangan getah berkembang antara 15 dan 20 peratus tahun ini.

“Ia bergantung kepada tempoh penularan penyakit ini, dan ia sudah pastinya tidak mereda dalam tempoh terdekat ini dan mungkin berlarutan sehingga enam ke lapan bulan lagi,” katanya.

Wabak koronavirus bermula di Wuhan, China pada lewat Disember 2019 dan ketika ini telah menular ke 28 negara dan wilayah di seluruh dunia.

Setakat Jumaat, lebih 31,000 kes disahkan dan dilaporkan termasuk 15 di Malaysia, manakala kematian telah mencecah 636 orang di tanah besar China.

Malaysia, yang menjadi pengeluar sarung tangan terbesar dunia, pada 1 Februari 2020 berjanji untuk menyumbang 18 juta pasang sarung tangan perubatan ke negara itu dalam usaha untuk membendung penularan wabak tersebut.

Syarikat Malaysia yang berjanji untuk menyumbang sarung tangan perubatan ke China termasuklah Smart Glove Corporation Sdn Bhd (5.8 juta pasang), Top Glove Corporation Bhd (tiga juta pasang), Hartalega Holdings Bhd (2.58 juta pasang), Majlis Penggalakan Eksport Getah Malaysia (2.12 juta pasang), Supermax Corporation Bhd (dua juta pasang), Kossan Rubber Industries Bhd (sejuta pasang), YTY Group (sejuta pasang), Brightway Sdn Bhd (300,000), Koon Seng Sdn Bhd (100,000) dan Careplus Group Bhd (100,000).

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah mengisytiharkan wabak koronavirus sebagai darurat kesihatan global.

– BERNAMA


Pengarang :