Ahli jawatan kuasa SELCAT, ketika Sesi Pendengaran Awam “Penilaian Prestasi PBT dan Ahli Majlis” di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 20 Februari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Elaun ahli majlis wajar dinaikkan, pastikan prestasi meningkat

SHAH ALAM, 20 FEB: Pengerusi persatuan penduduk mencadangkan kenaikan elaun ahli majlis kerana beban tugas bertambah serta perlu menjaga semakin luas kawasan pentadbiran.

Ir A B Naicker berkata kadar elaun diterima ahli majlis ketika ini tidak setimpal kerana perlu menyelesaikan pelbagai masalah penduduk pada kadar segera.

“(Elaun) sedia ada memang tidak patut kerana RM2,500 gaji seorang kerani. Ahli majlis perlu tanggung semua masalah tambahan,” katanya mewakili Rukun Tetangga SS17, Subang Jaya.

Pandangan sama turut diberikan seorang lagi saksi, Abu Bakar Abdullah mewakili Persatuan Penduduk Taman Wira, Banting mencadangkan kenaikan elaun ahli majlis RM5,000 sebulan.

Beliau berharap ahli majlis lebih proaktif menyelesaikan masalah jika kenaikan itu dilaksanakan memandangkan sebelum ini pihaknya terpaksa berurusan terus dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membolehkan tindakan diambil segera.

Kedua-dua saksi bercakap pada Sesi Pendengaran Awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) menjawab pertanyaan pengerusi Ng Suee Lim sama ada elaun ahli majlis kini memadai di Bangunan Annex, di sini hari ini.

Sebelum itu, kesemua tujuh pengerusi penduduk bersetuju ahli majlis perlu menjalinkan kerjasama erat dengan penduduk bagi menyampaikan cadangan sebelum PBT melaksanakan sebarang polisi.


Pengarang :