Pengurus Besar Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad Mohamad. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Empat juta warga Indonesia diramal berkunjung ke Selangor

SHAH ALAM, 6 FEB: Seramai empat juta pelancong Indonesia dijangka memasuki negeri ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020), kata pengurus besar Tourism Selangor.

Azrul Shah Mohamad berkata Selangor mencatatkan 1.5 juta pelancong Indonesia sehingga Mei 2019 dan meningkat kepada 3.4 juta pada Disember tahun sama.

“Terletak di tengah-tengah Malaysia dan merupakan negeri termaju, Selangor menjadi peneraju utama pembangunan negara dengan sumbangan 23.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar negara.

“Selangor menjadi pilihan nombor satu pelancong kerana kaya dengan budaya, adat dan tradisi serta keindahan alam,” katanya pada Majlis Perasmian Ekspo Penjagaan Kesihatan Malaysia 2020 di Jakarta, Indonesia hari ini.

Sementara itu, Azrul Shah berkata Kerajaan Negeri akan memfokuskan pelancongan pelayaran mewah (cruise tourism) selari kluster pelabuhan dan maritim.

“Sebagai rekod, sebanyak 277 buah kapal pelayaran berlabuh di Boustead Cruise Centre (BCC) Klang dengan catatan penumpang 517,433 orang pada 2018.

“Selangor juga akan membina pusat informasi pelancongan di BCC, Klang tahun ini  yang memberi  nilai tambah kepada industri itu untuk jangka masa panjang,” katanya.


Pengarang :