PENDAPATRENCANA

Faedah dan masalah e-dompet

E-dompet menjadi aplikasi paling banyak dimuat turun di Malaysia bagi suku ketiga tahun lalu berdasarkan penyelidikan iPrice, sebuah platform pemasaran tempatan.

Dengan lebih 61,500 rakan niaga dan kira-kira 3.5 juta pengguna, keadaan itu sekali gus membuktikan urus niaga digital kian diminati masyarakat.

Apatah lagi, kadar penembusan internet di negara ini yang mencecah 87.4 peratus manakala penggunaan telefon pintar mencapai 78 peratus memudahkan lagi proses urus niaga digital.

Setakat ini, Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan 42 lesen kepada pengendali aplikasi termasuk Touch n’ Go, Grabpay, Boost, BigPay, Paypal, SamsungPay dan Ipay88.

E-dompet popular berikutan perkhidmatan itu memudahkan pengguna membuat urus niaga termasuk membeli produk atau perkhidmatan secara dalam tali-
an tanpa perlu banyak pergerakan fizikal.

Keselamatan digital

Pun begitu, di sebalik keterujaan sebahagian masyarakat, kajian Pengguna Perbankan VMware 2020 mendapati hampir 46 peratus pengguna khuatir terhadap ciri-ciri keselamatan dalam hal kewangan.

Mereka bimbang wang dalam e-dompet terdedah kepada penjenayah digital yang mungkin menggodam sistem aplikasi tersebut.

Ini mengakibatkan 70 peratus pengguna memilih kaedah tradisional termasuk pemindahan antara wang dalam talian, mesin juruwang automatik atau tunai kerana tahap kepercayaan mereka terhadap ciri-ciri keselamatan e-dompet diragui.

Selain itu, pengguna juga berdepan lambakan pengendali e-dompet apatah lagi kebanyakan perkhidmatan itu tidak menyeluruh hingga mengakibatkan sesetengah pengguna keliru.

Di negara lain, China misalnya, sebuah negara yang dianggap antara kuasa ekonomi dunia masa kini, hanya ada dua pengendali iaitu Alipay dan Wechat Pay.

Di Singapura pula, hanya ada 10 pengendali e-dompet antaranya DBS Paylah, FavePay, SingTel Dash dan AllPay manakala Hong Kong lebih mirip kepada China dengan tambahan Apple Pay dan PayMe yang fungsinya sama.

Isu lambakan pengendali e-dompet pernah dibangkitkan Timbalan Pengerusi Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia Mohamad Yusrizal Yusoff berikutan sesetengah perisian aplikasi ‘berat’.

Sebaliknya, Gabenor Bank Negara Malaysia percaya lebih banyak pengendali e-dompet bermakna lebih pilihan ada di tangan pengguna.

“Matlamat adalah untuk memanfaatkan pengguna. Mereka mempunyai pelbagai pilihan perkhidmatan e-dompet yang memenuhi keperluan mereka.

“Apa yang penting adalah memastikan ada platform lazim yang memudahkan pembayaran,” kata Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Data peribadi terdedah?

Segelintir penguna juga khuatir data peribadi mereka terdedah jika menggunakan aplikasi e-dompet.

Namun, pensyarah Universiti Teknologi Mara mengingatkan orang ramai, ada banyak perkhidmatan lain yang memerlukan maklumat peribadi mereka untuk pendaftaran pelbagai kad keahlian dan diskaun produk tertentu.

Dr Irni Eliana Khairuddin juga mengingatkan orang ramai mengenai peruntukan undang-undang yang melindungi kerahsiaan mereka.

“Oleh itu, pengguna perlu ingat bahawa Malaysia mempunyai Ak-ta Perlindungan Data Peribadi 2010 bertujuan mencegah penyalahgunaan data pengguna justeru pengendali e-dompet pula tidak boleh bertindak sesuka hati menggunakan data pelanggan mereka,” katanya.


Pengarang :