Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia Datuk Hamidin Mohd Amin. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

FAM mahu lebih banyak kelab miliki stadium

SHAH ALAM, 24 FEB: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memasang impian untuk melihat lebih banyak kelab membina dan memiliki stadium sendiri pada masa hadapan, kata presidennya.

Datuk Hamidin Mohd Amin berkata dengan adanya stadium seperti Stadium Sultan Ibrahim dimiliki Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Felda United mempunyai Stadium Tun Abdul Razak dapat memartabatkan prestij sukan itu, lapor Sinar Harian.

Katanya, dengan perkembangan itu FAM berharap lebih banyak pasukan akan mempunyai kemudahan sama dengan pembinaan stadium baharu.

“Kami di FAM berbesar hati menerima jemputan menyaksikan hari bersejarah JDT (perasmian Stadium Sultan Ibrahim). Dengan fasilitinya dan kemudahan yang ada, pastinya stadium ini menjadi mercu tanda JDT malah usaha ini mampu melonjakkan pembangunan bola sepak tempatan serta negara.

“FAM mengucapkan ribuan terima kasih di bawah jemputan dan sekalung tahniah kepada JDT dan JOHOR Southern Tigers,” katanya.

Harimau Selatan bakal memulakan aksi pertama bertemu Kedah di stadium baharu pada 28 Mac ini bagi merebut Piala Sumbangsih.


Pengarang :