AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Gabungan Muafakat Nasional pilih Muhyiddin calon PM

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Barisan Nasional (BN) dan Pas hari ini menamakan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri untuk diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya dalam kenyataan selepas Mesyuarat Ahli Dewan Bersatu berkata seramai 36 ahli Parlimen daripada parti itu menghadiri mesyuarat tersebut di Yayasan Al-Bukhary di sini.

Dalam kenyataan berasingan, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tengku Adnan Tengku Mansor berkata seramai 42 ahli Parlimen parti komponen BN iaitu UMNO (39 orang), MCA (dua orang) dan MIC (seorang) menyokong Muhyiddin untuk menjadi calon perdana menteri kelapan.

Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dalam kenyataan bersama hari ini, turut memaklumkan parti itu selaku gabungan Muafakat Nasional, masing-masing dengan 39 dan 18 ahli Parlimen sepakat memberi sokongan penuh terhadap Presiden Bersatu itu.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata melihat kepada situasi terkini iaitu pembubaran Parlimen bukan satu lagi pilihan, maka kedua-dua Ahli Parlimen MCA menyokong pencalonan Muhyiddin.

Dua Ahli Parlimen daripada MCA berkenaan ialah Ahli Parlimen Ayer Hitam, merangkap Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.

– BERNAMA


Pengarang :