AGENSISELANGOR

Gangguan bekalan air di Ampang pulih 87.5 peratus

SHAH ALAM, 8 FEB: Gangguan bekalan air di kawasan terjejas sekitar Ampang ekoran paip pecah di Rumah Pam Hulu Klang mencapai tahap 87.5 peratus pulih setakat jam 1 tengah hari tadi, kata ketua komunikasi korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Abdul Halem Mat Som berkata bagaimanapun lapan kawasan masih belum pulih sepenuhnya dan bantuan bekalan air menerusi lori tangki terus digerakkan dengan tumpuan ke lokasi berkenaan.

Katanya, kawasan terbabit adalah Kampung Tasik Permai, Kampung Ampang Indah, Kampung Ampang Campuran, Taman Fairuza Ampang, Taman Permai Jaya Ampang, Kampung/Taman Tasek Tambahan, Tmn Sri Bayu Ampang dan Taman Sri Baru Ampang.

“Kita sedang berusaha mempercepatkan proses pemulihan dengan meningkatkan tekanan dan menstabilkan aliran bekalan di sistem agihan.

“Air Selangor memohon kerjasama pelanggan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan lancar bagi kawasan masih terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pelanggan boleh terus ke Pusat Khidmat Setempat (PKS) di Aeon Big Ampang, Taman Dagang Permai, Ampang dan Pili Awam Lembah Jaya untuk mendapatkan bantuan atau hubungi talian 15300.

Air Selangor akan memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi termasuk Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi telefon pintar Air Selangor dan laman sesawang di www.airselangor.com


Pengarang :