Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Temu Rapat bersama Pengetua dan Guru Besar Negeri Selangor di Dewan Auditorium Jubli Perak, Shah Alam pada 31 Januari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Guru digesa kenal pasti minat pelajar – MB

SHAH ALAM, 1 FEB: Guru di seluruh negeri ini digesa mengenal pasti bakat kemahiran dan minat pelajar masing-masing supaya mereka tidak terlepas atau `hilang’ dalam industri masa akan datang, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata ini kerana Selangor memandang tinggi Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) kerana ia memberi nilai tambah kepada pembangunan negeri kelak.

“Peranan guru atau pengetua penting dan Kerajaan Negeri percaya ia boleh digerakkan walaupun bidang ini masih dianggap pilihan kedua. Di Jerman, Switzerland dan negara maju lain mereka meletakkan bidang itu setara dengan bidang pengajian lain.

“Tetapi di negara kita, jika tidak masuk ke universiti masa depan gelap. Jadi, saya anggap ia perlu digerakkan di peringkat sekolah,” katanya selepas Majlis Temu Rapat Dato’ Menteri Besar bersama Pengetua dan Guru Besar Selangor di SUK semalam.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari (kiri) bersalam dengan pengetua pada Majlis Temu Rapat bersama Pengetua dan Guru Besar Negeri Selangor di Dewan Auditorium Jubli Perak, Shah Alam pada 31 Januari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Justeru, bagi menggalakkan bidang TVET terus berkembang, Amirudin berkata Selangor menyediakan peruntukan RM90 juta bagi membantu pelajar dalam bidang terbabit.

“Selangor juga menyediakan Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Iktisas Smart Selangor (IKTISASS) sejak 2018 dengan peruntukan RM50 juta, kita turut menyediakan kerangka dan ekosistem kepada pelajar.

“Selangor turut menjadi wadah dalam bidang aeroangkasa, 70 peratus industri ini bertapak di sini antaranya di Subang dan Sepang. Kita menerima pelaburan airbus bernilai RM200 juta dan menyelenggara serta membaik pulih kapal terbang,” katanya.


Pengarang :