Pegawai kesihatan Malaysia mengedarkan risalah kepada penumpang yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang pada 21 Januari 2020 ketika pihak berkuasa meningkatkan langkah mencegah koronavirus. Foto AFP
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Guru, pelajar balik dari China perlu dikuarantin 14 hari

KULAI, 9 FEB: Semua guru dan pelajar yang baru pulang dari China perlu menjalani proses kuarantin di kediaman sendiri selama 14 hari sebagai usaha mengekang penyebaran jangkitan koronavirus 2019 di negara ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata kementerian telah mengeluarkan arahan itu pada 30 Januari lepas.

“Guru dan murid yang pernah pergi ke China baru-baru ini sama ada mereka pergi semasa cuti atau lawatan, mereka ini perlu dikuarantin di rumah.

“Apabila balik dari negara terbabit, saringan kesihatan perlu dilakukan… walaupun mereka tidak mengalami sebarang simptom, mereka perlu lalui pemantauan di rumah sepanjang 14 hari dan mereka tidak boleh ke sekolah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Ziarah Cakna Peringkat Kebangsaan Tahun 2020 di sini hari ini.

Katanya Kementerian Pendidikan juga telah mengambil keputusan untuk menangguhkan pendaftaran pelajar dari negara tersebut di semua institusi pendidikan di Malaysia ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada terdapat keperluan untuk Malaysia mengambil langkah sama seperti Singapura iaitu melarang semua aktiviti luar di sekolah sebagai langkah pencegahan jangkitan koronavirus.

Teo berkata sehingga kini tiada arahan dikeluarkan untuk menangguhkan sebarang aktiviti luar sekolah memandangkan situasi di Malaysia berbeza daripada Singapura.

“Selain langkah-langkah yang telah kita ambil tadi, apa-apa langkah seperti menangguhkan sebarang aktiviti luar di sekolah, kita akan dapatkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan terlebih dahulu dan setakat ini, belum ada arahan untuk melarang aktiviti luar.

“Ini kerana saya rasa situasi antara negara kita dengan Singapura berbeza memandangkan kes yang berlaku di Singapura lebih banyak dan tinggi daripada negara kita dan Singapura adalah sebuah negara yang berkepadatan tinggi,” katanya lagi.

Sehingga semalam, jumlah kumulatif kes positif koronavirus adalah sebanyak 16 orang, iaitu 12 warga China dan empat rakyat tempatan.

– BERNAMA


Pengarang :