Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

H5N1: Malaysia tidak import haiwan hidup, produk dari Shaoyang

PUTRAJAYA, 3 FEB: Malaysia tidak mengimport haiwan hidup dan produk dari Shaoyang di wilayah Hunan, China, yang dilanda wabak selesema burung H5N1, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata Malaysia mengimport keratan ayam dari loji pemprosesan ayam di Liaocheng, Shangdong, yang terletak kira-kira 1,313 kilometer dari tempat kejadian.

Berdasarkan laporan media, berlaku penularan H5N1 di sebuah ladang ternakan di bandar Shaoyang, dengan kira-kira 4,500 daripada 7,859 ayam di ladang itu mati akibat jangkitan virus itu.

Menurut Quaza Nizamuddin, pihak berkuasa China telah mengambil tindakan untuk mengawal penyakit berkenaan

Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga sentiasa mengambil sampel keratan ayam yang dibawa masuk untuk diuji bagi penyakit H5N1, katanya.

“Setakat ini tiada sampel yang positif,” katanya.

Langkah berjaga-jaga akan ditingkatkan dan sampel akan diambil daripada setiap kosainmen untuk diuji, katanya.

Beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan sentiasa memantau keadaan dan berhubung dengan World Animal Health Organisation untuk mengetahui status kedudukan sebenar dari semasa ke semasa.

– BERNAMA


Pengarang :