Kawasan parkir terhad menyukarkan masyarakat yang mahu berurusan di bangunan berhampiran. 19 FEB 2020. Foto: SHEEDA FATHIL
PBTSELANGOR

Had maksimum parkir dua jam mudahkan urusan

PETALING JAYA, 19 FEB: Sistem parkir maksimum dua jam wajar dilaksanakan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Jalan Seksyen 52/2 New Town bagi memudahkan orang ramai berurusan di kawasan itu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing, R Rajiv berkata pelaksanaan sistem itu perlu kerana kawasan parkir terhad disebabkan dipenuhi kenderaan dari pagi sehingga petang dan menyukarkan orang lain yang mahu berurusan di bangunan berhampiran.

“Pada Disember lalu saya mengadakan sidang media meminta maklum balas orang awam dan penduduk sekitar berhubung hal ini dan masing-masing menyokong sistem letak kenderaan dua jam.

“Malah, tidak kurang juga ada yang menghantar e-mel berharap sistem itu dilaksanakan segera supaya mereka turut dapat meletak kenderaan jika mempunyai urusan di kawasan itu,” katanya ketika sidang media di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Bukit Gasing.

Katanya mekanisme pembayaran bergantung kepada MBPJ sama ada tetap mengenakan bayaran RM0.60 atau tindakan saman dikenakan jika meletak kenderaan lebih dua jam.

“Diharap sistem ini dilaksanakan segera supaya lebih ramai penduduk berpeluang meletak kenderaan di situ,” katanya.


Pengarang :