Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Hala tuju Kementerian Pendidikan selaras agenda Wawasan Kemakmuran Bersama

PUTRAJAYA, 6 FEB: Kementerian Pendidikan (KPM) sebagai peneraju dalam mendidik dan melahirkan modal insan negara, akan menyesuaikan dasar dan hala tuju selaras dengan agenda Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030), kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir yang juga pemangku Menteri Pendidikan berkata bagi tahun 2020, fokus utama KPM akan tertumpu ke arah ‘Merealisasikan Kemakmuran Bersama Melalui Pendidikan’.

Menurut Dr Mahathir, satu daripada tujuh teras strategik dalam wawasan yang dilancarkan kerajaan itu ialah strategi transformasi modal insan.

“Transformasi ini harus fokus kepada penyediaan hala tuju sumber tenaga yang lebih produktif, efektif, berkemahiran, berteknologi dan bernilai tinggi, termasuk dalam industri ekonomi baharu,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian pada majlis amanat dan aspirasi bersama warga Kementerian Pendidikan di sini hari ini.

Dr Mahathir dalam pada itu turut menyarankan supaya satu kurikulum Pendidikan Islam baharu diadakan bagi menekankan penyemaian nilai-nilai kehidupan Islam.

“Kita gemar menyatakan bahawa Islam bukan sahaja satu agama tetapi ia juga adalah satu cara hidup. Kita perlu tahu apakah cara hidup Islam. Umpamanya adakah cara hidup Islam menyuruh kita berperang dan membunuh?,” katanya.

Dalam masa yang sama, katanya KPM turut menyediakan Perincian Pemetaan Pendidikan Sivik yang merangkumi Modul Exemplar untuk kurikulum, Manual Perhimpunan Sekolah dan Amalan Nilai Murni serta Manual Amalan Pendidikan Sivik dalam kokurikulum.

Di peringkat pendidikan tinggi pula, katanya pembentukan nilai ditekankan melalui aktiviti Service Learning Malaysia – University For Society (SULAM), iaitu kaedah pembelajaran yang memberi pengalaman pembelajaran kepada pelajar melalui penyelesaian permasalahan komuniti.

– BERNAMA


Pengarang :