Pegawai perubatan dan pekerja menyusun katil di hospital sementara Wuhan, China bagi menerima pesakit Covid-19 pada 5 Februari 2020. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Hospital sementara di Wuhan mula rawat pesakit

WUHAN, 6 FEB: Sebuah pusat pameran di Wuhan yang diubah suai menjadi hospital sementara untuk merawat pesakit yang dijangkiti koronavirus 2019 memulakan operasinya pada Rabu lalu lapor agensi berita Xinhua.

Hospital itu mempunyai kira-kira 1,600 katil.

Selain itu, dua lagi kemudahan awam yang diubah suai menjadi hospital sementara, dilengkapi 2,800 katil mula menerima pesakit yang mempunyai gejala ringan.

Berdepan tugas sukar untuk merawat pesakit yang ramai, Wuhan meningkatkan usaha membina dan mewujudkan lebih banyak kemudahan perubatan.

Pada 3 Februari lalu, kerja pengubahsuaian bermula di 13 tempat termasuk gimnasium, pusat sukan dan pusat pameran.

Pada masa ini, Wuhan mempunyai 28 hospital yang dikhaskan untuk merawat pesakit dijangkiti virus maut itu, menyediakan lebih 8,250 katil, kata timbalan setiausaha Parti Komunis China Jawatankuasa Perbandaran Wuhan, Hu Lishan pada sidang akhbar mengenai kawalan dan pencegahan wabak koronavirus.

Berikutan hospital berdepan masalah kekurangan katil, Wuhan melipatgandakan usaha dengan menjadikan hospital swasta, hotel, sekolah dan tempat-tempat lain yang sesuai sebagai pusat kuarantin, pemerhatian dan merawat pesakit.

Hubei telah melabur dana berjumlah 400 juta yuan (lebih AS$57 juta) untuk membina tempat merawat pesakit di seluruh wilayah itu.

Sejumlah 16,678 kes jangkitan koronavirus dilaporkan di wilayah Hubei pada Selasa lalu.

– BERNAMA


Pengarang :