Pengerusi Institut Wanita Berdaya, Juwairiya Zulkifli
AGENSISELANGOR

Juwairiya: Ibu dinasihat kawal emosi atasi kes dera anak

SHAH ALAM, 17 FEB: Wanita bergelar ibu perlu bijak mengawal emosi bagi mengurangkan kes penderaan anak kandung, kata pengerusi Institut Wanita Berdaya.

Enggan membandingkan status ibu kandung atau tiri, Juwairiya Zulkifli berkata golongan itu seharusnya membentuk suasana positif dan selamat kepada anak-anak.

“Saya juga meminta masyarakat memainkan peranan masing-masing dengan mengambil tahu antara satu sama lain bagi mengelak kes penderaan berlaku dalam kejiranan mereka,” katanya.

Pada 14 Februari lalu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat membentangkan statistik menunjukkan lebih 39 peratus atau 192 kes daripada 685 kes dera dilakukan ibu kandung pada tahun lalu.

Golongan bapa pula mencatatkan 158 kes atau 32 peratus, pengasuh taska atau penjaga pusat jagaan membabitkan 29 kes (enam peratus), manakala kes melibatkan ibu tiri hanya tiga peratus atau 15 kes.


Pengarang :