Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor di SUK, Shah Alam pada 6 Februari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Insentif RM800 bantu rawatan pesakit tibi

SHAH ALAM, 6 FEB: Kerajaan Negeri akan memberi insentif RM800 kepada setiap pesakit tibi untuk mendapatkan rawatan mulai Mac ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia bagi meringankan beban kos rawatan yang ditanggung selain memastikan pesakit melengkapkan semua sesi rawatan di hospital.

“Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2 juta bagi mencegah penularan kes tibi. Sebanyak 5,303 kes direkodkan di Selangor dan daripada jumlah ini seramai 533 pesakit tidak melengkapkan sesi rawatan.

“Pesakit boleh mendapatkan borang permohonan insentif di hospital dan klinik kerajaan atau pusat khidmat masyarakat di daerah masing-masing,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor di Pejabat Menteri Besar di sini hari ini.

Amirudin berkata bayaran insentif kepada pesakit tibi akan dibuat menerusi tiga transaksi iaitu RM200 bagi dua bulan pertama, RM200 (dua bulan seterusnya) dan RM400 sehingga selesai rawatan.


Pengarang :