Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Isu MBPJ: SPRM Selangor nafi dakwaan ADN Bukit Gasing

SHAH ALAM, 7 FEB: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor semalam menangkis dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Bukit Gasing, R. Rajiv yang menyatakan ‘tiada tindakan’ terhadap aduannya mengenai penyelewengan dalam Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim berkata pihaknya telah membalas secara bertulis kepada Rajiv pada 4 Disember 2019 dan 20 Januari lepas bagi menjawab persoalan ADN itu berhubung isu yang dibangkitkannya serta status kes berkenaan.

“Kami telah memaklumkan kepada beliau (Rajiv) bahawa siasatan sedang dijalankan. Persoalan-persoalan ADN Bukit Gasing itu tidak dibiarkan tanpa berjawab.

“Aduan pertama mengenai dakwaan bahawa terdapat konflik berkepentingan dalam penganugerahan subkontrak (dibuat oleh Rajiv) diterima pada 5 Ogos 2019 dan sedang disiasat pihak kami dan masih lagi diteruskan mengikut prosedur-prosedur siasatan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Alias turut menegaskan bahawa tiada sebarang penangguhan siasatan oleh pihaknya terhadap kes berkenaan.

Bagaimanapun, katanya SPRM Selangor tidak boleh mendedahkan sebarang maklumat spesifik mengenai kes itu kerana dikhuatiri akan memprejudiskan siasatan.

“Setelah siasatan selesai, kami akan menyerahkan kertas siasatan kepada pihak Jabatan Peguam Negara untuk pertimbangan,” katanya.

Pada Isnin lepas, media melaporkan Rajiv mendakwa tiada sebarang tindakan diambil oleh SPRM selepas enam bulan pihaknya melaporkan mengenai salah laku di MBPJ.

Rajiv juga dilapor berkata SPRM telah ‘masuk’ ke MBPJ dan membuka kertas siasatan namun tiada sebarang tindakan sehingga kini sebaliknya beliau hanya menerima surat pemakluman bahawa kes itu masih disiasat.

– BERNAMA


Pengarang :