Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra dan menyampaikan risalah kepada tetamu selepas Majlis Penyerahan Notis 5A Penduduk Indian Settlement di Balai Penghulu Mukim Batu, Jalan Sungai Tua pada 21 Februari 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Isu milikan 38 lot tanah Kampung Indian Settlement selesai

BATU CAVES, 21 FEB: Isu pemilikan 38 lot tanah penduduk Kampung Indian Settlement yang berlarutan sejak 40 tahun lalu berjaya diselesaikan Kerajaan Negeri, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kejayaan itu selari hasrat memastikan rakyat Selangor memiliki aset sendiri dan berharap ia tidak dijual demi keuntungan.

“Kampung Indian Settlement adalah kawasan setinggan yang tiada kemudahan asas sempurna, justeru kita pindahkan ke penempatan baharu yang lebih selesa di Mukim Batu iaitu Kampung Sungai Tua dan Bandar Baru Selayang serta Kampung Benggali di Mukim Rawang,” katanya berucap pada Majlis Penyampaian Notis 5A di Balai Penghulu Mukim Batu di sini, hari ini.

Amirudin berkata Kerajaan Negeri memperuntukkan RM7 juta bagi penempatan baharu tersebut merangkumi kos ambil alih tanah serta pembinaan jalan raya dan parit.

Pada masa sama, katanya, Selangor akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif dan perancangan yang memfokuskan kesejahteraan dan taraf sosioekonomi rakyat.

“Kita komited memastikan tiada golongan terabai dalam arus kemajuan dan hasil negeri akan dikongsi bersama rakyat,” katanya.

Pada 7 Februari lalu, Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri berjaya menyelesaikan isu pemilikan tanah membabitkan lebih 100,000 peneroka sejak 2008.


Pengarang :