Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tengah) bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas jawatankuasa tertinggi pengurusan bencana pusat berhubung Covid-19 di Perdana Putra pada 14 Februari 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Isu penutup hidung dan mulut: KDN beri kelonggaran ambil pekerja asing

PUTRAJAYA, 14 FEB: Kabinet melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memberi kelonggaran pengambilan lebih ramai pekerja asing kepada syarikat pengeluar penutup hidung dan mulut bagi membolehkan mereka menghasilkan lebih banyak produk itu dalam mengawal penularan kluster koronavirus 2019 (Covid-19), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas jawatankuasa tertinggi pengurusan bencana pusat berhubung kluster Covid-19 di Perdana Putra di sini hari ini, beliau berkata perkara itu akan diuruskan KDN bersama Kementerian Sumber Manusia dalam waktu terdekat.

Jelasnya, sebelum Covid-19, penggunaan penutup hidung dan mulut hanya dalam kalangan petugas kesihatan sahaja. Namun permintaan meningkat mendadak berikutan penularan Covid-19.

Beliau berkata pengeluar memberitahu mereka perlu beroperasi selama 24 jam dalam tiga syif bagi meningkatkan pengeluaran.

“Bagaimanapun kawalan terhadap jumlah kemasukan (pekerja asing) akan tetap dikenakan kerana kerajaan tidak mahu kebanjiran pekerja asing,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata langkah mengawal selia bekalan dan harga jualan penutup hidung dan mulut di pasaran telah diambil bagi menghalang pembelian produk itu secara pukal dan dibawa ke luar negara.

Surat arahan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri dan cawangan sudah dikeluarkan untuk memastikan penjual produk itu membuat kawalan kendiri dan tidak menjual secara pukal kepada pelanggan, katanya.

Ada kuota untuk produk berkenaan supaya bekalan di dalam negara mencukupi dan pihak tertentu tidak melakukan pembelian secara pukal untuk dihantar ke luar negara, tambah beliau.

Dalam perkembangan lain, Dr Wan Azizah berkata Malaysia tidak akan membenarkan kemasukan kapal-kapal asing untuk berlabuh di negara ini kecuali kapal-kapal berkenaan berkongsi maklumat penting yang diperlukan pihak berkuasa Malaysia.

Menurutnya Jabatan Imigresen Malaysia telah melaporkan bahawa terdapat permohonan untuk berlabuh daripada dua kapal persiaran dari Hong Kong iaitu kapal Westerdam dan kapal Sapphire Princess.

Kapal Westerdam dengan muatan sekitar 1,000 penumpang yang pernah memasuki Hong Kong sebelum ke Taiwan pada 1 Februari pada mulanya berhasrat untuk berlabuh di Malaysia, telah mendapat kebenaran untuk berlabuh di Kemboja semalam.

Manakala Sapphire Princess telah selamat berlabuh di Singapura, katanya.

Mengulas mengenai peningkatan mendadak kes Covid-19 di China, beliau berkata, ia disebabkan perubahan definisi kes positif Covid-19 bagi wilayah Hubei.

“Terkini, mana-mana pesakit di wilayah Hubei yang menunjukkan kesemua gejala klinikal Covid-19 tetapi belum disahkan positif melalui ujian makmal adalah dikategorikan sebagai kes yang positif,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata bagaimanapun menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jumlah pesakit yang disahkan positif Covid-19 di luar China tidak menunjukkan peningkatan kes yang mendadak.

Jelasnya, Malaysia tidak mengikuti langkah Hubei dalam mendefinasikan kes Covid-19 tanpa ujian makmal.

“Di Malaysia Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sudah bersedia dari awal (untuk melakukan ujian makmal). IMR sudah sedia,” katanya.

Mesyuarat hari ini turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Azis Jamman, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud.

– BERNAMA


Pengarang :