Timbalan Menteri KBS, Steven Sim Chee Keong. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

Isu Stadium Shah Alam rosak, KBS sedia beri nasihat

SHAH ALAM, 11 FEB: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersedia memberikan panduan serta khidmat nasihat kepada pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) susulan timbul isu mengenai bumbung rosak di Stadium Shah Alam yang dikatakan mengancam keselamatan penonton.

Timbalan Menteri KBS, Steven Sim Chee Keong berkata pihaknya turut terbuka untuk berkongsi perkara itu kepada mana-mana pengelola stadium kerajaan.

Ketika saingan Kejohanan Selangor Asia Challenge (SAC) 2020 bulan lepas, keadaan Stadium Shah Alam mendapat perhatian pelbagai pihak terutamanya berkaitan bumbung bocor, termasuk serpihan bumbung stadium jatuh di kawasan tempat duduk penonton.

Sebelum ini turut dinyatakan Selangor berdepan kemungkinan melupakan aksi Liga-M musim ini di Stadium Shah Alam selepas pemeriksaan awal dilakukan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mendapati, stadium itu tidak mencapai tahap piawaian.

Steven berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan pembukaan forum `Improving Work Opportunities for Young People in the Commonwealth (I-WORK) National’ hari ini.

Forum yang disasar untuk menambah baik prospek pekerjaan golongan muda itu dihadiri oleh kalangan pembuat dasar, wakil-wakil kementerian, agensi-agensi berkaitan, para majikan dan juga kumpulan pembiaya.

– BERNAMA


Pengarang :