Selangorkini
Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim (dua, kiri) menerima penyerahan Tabung Endowmen Bank Islam-UiTM RM20 juta daripada Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Malaysia Berhad, Mohd Muazzam Mohamed (tiga, kiri) pada Majlis Amanat Naib Canselor 2020 dan Penyerahan Endowmen oleh Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) Kepada UiTM di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) pada 26 Februari 2020. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Jana pendapatan, UiTM buka bidaan nombor plat kenderaan khas

SHAH ALAM, 27 FEB: Buat julung kalinya, Universiti Teknologi Mara (UiTM) membuka bidaan penjualan nombor pendaftaran kenderaan khas ‘UITM’ kepada orang awam bermula hujung Mac depan.

Naib Canselornya, Prof Emeritus Datuk Dr Ir Mohd Azraai Kassim berkata penjualan nombor pendaftaran khas kenderaan itu merupakan inisiatif universiti berkenaan untuk menjana pendapatan alternatif bagi disalurkan kepada Tabung Endowmen Bank Islam-UiTM.

“Untuk bidaan khas ini, nombor satu hingga sembilan tidak dibuka untuk bidaan kerana ia akan diberikan secara percuma kepada individu yang menyalurkan sumbangan paling banyak bagi tabung berkenaan.

“Bagi nombor pendaftaran lain, bidaan paling minimum akan dibuka pada nilai RM1,000. Kami menyasarkan RM15 juta mampu dikumpul menerusi penjualan nombor pendaftaran khas itu,” katanya selepas majlis simbolik jalinan usaha sama antara Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) dengan UiTM di sini semalam.

Katanya, mana-mana pihak yang berminat untuk mendapatkan nombor pendaftaran kenderaan khas ‘UITM’ itu, boleh membidanya menerusi Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian Jabatan Pengangkutan Jalan UiTM (eBida UiTM).

Tambah beliau, hasil pendapatan daripada penjualan nombor pendaftaran khas kenderaan itu akan digunakan untuk pemberian biasiswa kepada para pelajar yang memerlukan dan menampung kos mobiliti kakitangan universiti berkenaan.

Terdahulu pada majlis itu, UiTM memperkukuhkan jalinan kerjasamanya dengan Bank Islam menerusi penjanaan keuntungan RM20 juta dalam tempoh lima tahun menerusi akaun Deposit Bertempoh-i (Tawarruq) Khas Bank Islam.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata keuntungan akan mula dijana secara berperingkat oleh UiTM bermula tahun depan hasil daripada depositnya berjumlah RM100 juta mulai Mac ini dalam jenis akaun simpanan tetap.

Hasil keuntungan itu akan disalurkan kepada tabung endowmen berkenaan bagi mempergiatkan lagi usaha penyelidikan dan pembangunan UiTM khususnya dalam bidang perbankan Islam.

“Setelah mencapai tempoh matang (deposit) iaitu selepas lima tahun kelak, UiTM boleh menebus semula RM100 juta yang disimpan dalam jenis akaun tersebut,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :