Tapak pembuangan sampah haram di bawah jambatan di Taman Kem, Jalan Jeti, Klang yang dibersihkan KDEBWM pada 5 November 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Jawatankuasa pilihan PBT Selangor bentang penyata selesai isu sampah haram

KLANG, 4 FEB: Jawatankuasa Pilihan Pihak Berkuasa Tempatan (JP-PBT) Selangor akan membentangkan satu penyata kepada Kerajaan Negeri tahun ini dalam usaha menyelesaikan masalah pengurusan sampah haram daripada kilang di negeri ini.

Pengerusinya Dr Daroyah Alwi berkata penyata itu akan mengandungi tatacara pelaksanaan yang perlu dilakukan Kerajaan Negeri dalam menguruskan sampah termasuk sampah domestik seperti sampah kilang, sampah berjadual dan sampah binaan.

Mengambil contoh Klang, beliau berkata banyak pencemaran berlaku akibat pembuangan sisa plastik oleh kilang plastik di daerah itu melibatkan kawasan Sementa, Pelabuhan Klang dan Telok Gong.

“Jika dilihat, terlalu banyak aktiviti pelupusan sampah haram berlaku di tempat tersembunyi dan kita tidak mahu perkara ini berterusan. Jadi kita adakan perbincangan dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Klang, Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan KDEB Waste Management untuk mengumpul maklumat bagi menyelesaikan masalah ini.

“Klang adalah antara lokasi yang mampu menarik minat pelabur tetapi masalahnya di sini adalah sampah daripada kilang tidak diurus dengan betul. Menerusi perbincangan dengan pihak terlibat, kami sasarkan penyata tersebut dapat disiapkan tahun ini,” katanya selepas menghadiri sesi pendengaran tertutup JP-PBT mengenai pengurusan sampah haram di sini, hari ini.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata penyata tersebut perlu dibuat lebih teliti dengan merujuk semua maklum balas daripada pihak berkuasa tempatan, JAS dan PTD di setiap daerah.

“Setiap kerja ini (pengurusan sampah) juga melibatkan kos kerana apabila ada sampah mesti ada punca. Jadi, kita perlu melihat garis panduan pengurusan sisa pepejal, sisa domestik dan sisa pembinaan ini dalam konteks yang lebih luas,” katanya menambah ramai pihak akan dipanggil untuk mendapatkan solusi berhubung perkara itu.

– BERNAMA


Pengarang :