AGENDAJENAYAH

Jho Low rujuk Najib sebagai `Bos’ – Saksi

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Pengarah Urusan kumpulan Putrajaya Perdana Bhd (PPB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low merujuk Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai “bos”.

Datuk Rosman Abdullah, 53, berkata Jho Low merujuk bekas perdana menteri itu sebagai bosnya semasa meminta beliau memaklumkannya selepas RM27 juta dipindahkan daripada Putra Perdana Construction Sdn Bhd (PPC), anak syarikat PPB ke akaun bank peribadi Najib pada 8 Julai, 2014.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya ad hoc Datuk V. Sithambaram.

Sithambaram: Berdasarkan kepada komunikasi sebelum ini antara kamu dan Jho Low. Dia meminta kamu memaklumkannya supaya dia dapat memberitahu bosnya?

Rosman: Ya, itu yang dia cakap.

Sithambaram: Apabila Jho Low menyebut ‘bos’ pada masa itu, kamu tahu yang dia merujuk kepada Datuk Seri Najib?

Rosman: Ya.

Saksi pembelaan kelapan itu berkata beliau tahu daripada bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Allahyarham Datuk Azlin Alias bahawa Jho Low boleh berhubung secara terus dengan Ahli Parlimen Pekan itu.

Sebelum itu, Rosman mengesahkan bahawa RM32 juta dipindahkan ke akaun bank Najib yang nombor berakhir dengan 880 dan 906 pada 2014 melalui dua transaksi iaitu sebanyak RM27 juta pada 8 Julai 2014 dan RM5 juta pada 10 September 2014.

Kepada soalan lain oleh peguam Najib, Farhan Read mengenai SRC International Sdn Bhd (SRC), saksi itu berkata pada 2014, pengetahuannya tentang SRC adalah terhad.

“Sekarang berdasarkan pengalaman lalu, nama SRC adalah toksik. Apa yang dikaitkan dengan SRC adalah jenayah,” kata Rosman.

Beliau berkata ini berhubung dengan transaksi wang sebanyak RM117 juta dari SRC ke akaun anak syarikat PBB sebelum berjuta-juta masuk ke akaun bank peribadi Najib antara Disember 2014 dan Februari 2015.

Najib membela diri terhadap tujuh tuduhan menyalahgunakan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd yang terdiri daripada tiga tuduhan pecah amanah (CBT), tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu tuduhan menyalahgunakan kedudukan berhubung dengan dana SRC.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung.

– BERNAMA


Pengarang :