Sebahagian struktur kondomunium 37 tingkat yang sedang dalam pembinaan di Taman Desa Jalan Klang Lama runtuh pada 14 Februari 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

JKKP siasat insiden struktur kondominium runtuh – Zuraida

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) hari ini memulakan siasatan berhubung insiden runtuh membabitkan sebahagian struktur projek kondominium dalam pembinaan di Jalan Klang Lama semalam.

Beliau berkata sementara menunggu siasatan itu selesai, Lesen Permit Pengiklanan Pembangunan (APDL) pemaju kondominium tersebut akan digantung.

“Sehingga siasatan itu selesai, adalah terlalu awal untuk mengetahui sama ada terdapat pelanggaran prosedur operasi standard dalam insiden berkenaan.

“Maklumat awal yang saya dapat semalam ialah tiada isu dengan tanah, ia sepatutnya siap dalam masa 54 bulan, semuanya dalam keadaan teratur,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Festival Seni Bina Kuala Lumpur 2020 (KLAF2020) di sini.

Zuraida berkata tempoh siasatan akan mengambil masa sebulan, bagaimanapun, KPKT akan meminta JKKP mempercepatkannya dan satu mesyuarat penyelarasan antara kementerian bersama Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerja Negara (Niosh), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur serta pemaju akan diadakan Isnin ini bagi meneliti semula insiden itu.

Sebahagian struktur kondominium 37 tingkat di Taman Desa, Jalan Klang Lama runtuh dalam kejadian petang semalam.

Dalam insiden itu, dua warga Bangladesh dilaporkan terperangkap di tingkat satu selepas lantai tempat letak kereta di tingkat enam dilaporkan runtuh ketika hujan lebat pada 3.30 petang.

Mangsa pertama diselamatkan pada 5.15 petang manakala mangsa kedua pada 9.40 malam dan kedua-duanya dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan.

Sementara itu, NIOSH dalam kenyataannya percaya pihak berkuasa seperti Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan akan memastikan siasatan serta tindakan tegas diambil terhadap pihak yang didapati cuai dan bersalah dalam insiden tersebut.

“Kami serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk jalankan siasatan mengenal pasti punca kejadian.

“Pihak majikan dan pekerja bertanggungjawab dalam memastikan tempat kerja selamat dan sihat. Keperluan prosedur kerja selamat serta kualiti bahan yang digunakan dalam pembinaan antara faktor yang boleh mengakibatkan kecelakaan,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA


Pengarang :