Pemberita yang menunggu di luar bangunan Perdana Putra diberikan kemudahan seperti khemah dan kerusi yang disediakan oleh Jabatan Perdana Menteri pada 26 Februari 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

JPM sedia khemah dan kerusi untuk pengamal media

SHAH ALAM, 27 FEB: Jabatan Perdana Menteri (JPM) semalam menyediakan tiga khemah serta kerusi untuk kegunaan kira-kira 60 pengamal media daripada pelbagai agensi yang berkampung di hadapan bangunan Perdana Putra di Putrajaya.

Inisiatif itu diambil selepas Timbalan Ketua Setiausaha Kanan JPM Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan melakukan tinjauan dan beramah mesra dengan petugas media yang bertugas di situ, lapor Harian Metro.

Mohd Sallehhuddin bersama kakitangan JPM turut menghulurkan sumbangan nasi lemak dan minuman serta bersarapan bersama petugas media di lokasi berkenaan.

Dua daripada khemah didirikan di pintu masuk protokol, laluan yang digunakan Perdana Menteri interim Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memasuki pejabat serta tetamu khas Perdana Menteri, manakala satu lagi khemah dipasang di hadapan pintu masuk awam.

Selain JPM, beberapa pihak termasuk Pejabat Perdana Menteri dan beberapa syarikat serta orang persendirian turut menghulurkan sumbangan makanan kepada petugas media.


Pengarang :