Selangorkini
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

JPN bakal laksana sistem permohonan dokumen dalam talian

PUTRAJAYA, 3 FEB: Jabatan Pendaftaran Negara dijangka melaksanakan satu sistem permohonan dalam talian bagi pendaftaran dokumen pengenalan diri, kelahiran dan perkahwinan, pada bulan Julai ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Ruslin Jusoh berkata kemudahan itu dapat menjimatkan masa pelanggan, kerana dengan sistem itu nanti mereka hanya perlu datang ke pejabat JPN bersama dokumen asal sebagai bukti, sebelum mendapat dokumen baharu yang dipohon.

Beliau berkata pemohon masih perlu mengemukakan dokumen asal bagi mengelak berlakunya penyelewengan yang boleh menjejaskan keselamatan negara.

“Sistem ini kini di peringkat ujian dan kami jangka ia dapat dilaksanakan pada pertengahan tahun ini,” katanya kepada Bernama di sini.

Katanya pelaksanaan sistem itu juga sebagai usaha JPN dalam memastikan rekod pendaftaran warganegara sentiasa dikemas kini dan teratur, sejajar dengan Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam.

Ketika ini terdapat 23,064,172 pemegang MyKad dan 5,737,215 pemegang MyKid dalam negara.

Ruslin berkata kemudahan permohonan dalam talian itu turut akan membantu mengatasi masalah proses daftar lewat kelahiran, dan menurutnya tahun lepas 12,174 permohonan daftar lewat kelahiran diterima JPN dengan Sabah mencatatkan permohonan tertinggi iaitu 3,331 kes, diikuti Sarawak (1,667) dan Selangor (1,430).

Bagaimanapun katanya, angka itu menunjukkan sedikit penurunan berbanding 12,548 permohonan daftar lewat kelahiran pada 2018, hasil penyediaan Unit Khas Bergerak di Sabah dan Sarawak yang membantu masyarakat di kawasan pedalaman untuk mendaftar.

Sementara itu Ruslin berkata bagi tempoh dari Oktober 2015 sehingga Disember 2019, sebanyak 1,319,979 kes kehilangan MyKad akibat cuai direkodkan, diikuti kehilangan akibat faktor jenayah 363,580 kes dan bencana 20,410 kes.

“JPN memandang serius perkara ini, rakyat perlu menjaga MyKad mereka,” katanya dan menambah orang ramai boleh dikenakan denda RM100 untuk kes kehilangan pertama, kes kedua (RM300) dan ketiga (RM1,000).

Bagi kes kehilangan kali ketiga, selain denda pihak JPN juga akan melakukan siasatan terperinci dalam tempoh sehingga 90 hari sebelum MyKad baharu boleh dikeluarkan.

-BERNAMA


Pengarang :