Ir Izham Hashim bergambar pada Majlis Graduasi Sekolah Ladang Petani di Dewan Dato’ Penggawa Permatang, Kuala Selangor pada 11 Februari 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Kaedah pertanian betul beri pulangan lumayan

KUALA SELANGOR, 11 FEB: Proses penanaman padi yang betul tanpa memilih jalan pintas mampu menjana keuntungan lumayan jika dipraktikkan petani masa kini, kata EXCO pertanian.

Ir Izham Hashim berkata sokongan teknologi moden seperti dron mampu menarik lebih ramai pihak menceburi pertanian, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan.

“Kita yakin kalau mereka (petani) melakukan tanaman dengan betul, mereka akan peroleh hasil yang baik, namun kita dapati banyak memilih jalan pintas yang menyebabkan produktiviti menurun,” katanya di Dewan Dato’ Penggawa Permatang, di sini hari ini.

Bercakap selepas Majlis Graduasi Sekolah Ladang Petani (FFS) bagi tanaman padi di kawasan pembangunan pertanian bersepadu Barat Laut Selangor, beliau berkata banyak petani beralih kepada tanaman lain akibat kekurangan hasil.

FFS yang dianjurkan sejak 2016 berjaya melahirkan 110 petani kontak menjalani pengajian pada musim kedua tanaman bermula Julai hingga Disember setiap tahun.

Berkonsepkan pembelajaran berkumpulan meliputi latihan amali di sawah, program disertai petani daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

 


Pengarang :